MB Kedah Segerakan Bantuan Awal Kepada Mangsa Banjir


ALOR SETAR - Ekoran bencana alam banjir teruk yang menimpa sebahagian rakyat di negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah mengumumkan bantuan sebanyak RM100 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat banjir yang berlaku di negeri tersebut.

Bantuan awal tersebut akan disalurkan serta merta kepada kesemua keluarga yang terjejas dan yang dipindahkan ke pusat pemindahan dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bantuan ini sebagai usaha membantu mereka untuk membeli barangan keperluan apabila pulang ke rumah nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahawangsa di Jitra, tengah hari semalam.

Difahamkan bahawa mangsa banjir yang telah pulang ke rumah mangsa-masing juga tidak tercicir untuk menerima bantuan tersebut.

"Bantuan kepada keluarga yang sudah pulang ke rumah ini akan disampaikan melalui wakil rakyat yang akan turun ke kawasan masing-masing.

"Kita juga menyediakan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang mengandungi barangan keperluan seperti beras, gula, garam dan kopi akan diedarkan di setiap pusat pemindahan untuk diberikan kepada mangsa banjir.

"Setidak-tidaknya apabila pulang ke rumah nanti, barangan keperluan untuk memasak sudah tersedia," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar itu turut mendedahkan bahawa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang bermula sejak 2010 dulu telah berjaya mengurangkan jumlah mangsa banjir.

"Kalau berdasarkan keadaan hujan sekarang ini, banjir dijangka lebih buruk dan melibatkan lebih ramai mangsa.

"Tetapi dengan projek RTB , air banjir mampu dikawal di sesetengah kawasan. Kerajaan negeri juga akan pastikan projek RTB yang belum siap, akan dipercepatkan," katanya. - Kedahnews.com