Melampau! Tergamak Sumbat Tiga Lembu Curi, Mati Dalam Kereta


TAMPIN - Apa nak jadi! Itulah yang mampu disimpulkan dengan tindakan dua lelaki berusia 19 dan 28 tahun apabila tergamak menyumbat tiga ekor lembu di dalam kereta Proton Wira termasuk seekor lembu yang telah mati sebelum melapah dan menjualnya.

Aktiviti dua lelaki yang positif syabu itu berjaya dibongkar oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tampin dalam satu pemeriksaan di hadapan sebuah rumah di Felda Pasir Besar, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Ab Razak, polis telah menahan dua lelaki yang baru turun dari sebuah kereta dan sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, kedua-dua suspek cuba melarikan diri.

“Suspek berusia 19 tahun telah memandu kereta berkenaan kembali, manakala, suspek berusia 28 tahun pula berpaut pada bahagian luar pintu penumpang hadapan serta diseret sejauh kira-kira 100 meter dalam cubaan melarikan diri berkenaan.

“Suspek yang memandu kereta akhirnya memberhentikan kereta dan cuba melarikan diri namun dapat ditangkap polis.  Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan telah menemui 13 paket plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat 10.15 gram di dalam sebuah beg yang diletakkan di atas kotak gear,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hamazah berkata, selain paket dadah, pemeriksaan juga menemui seekor lembu betina yang telah mati dan seekor lembu jantan di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Menurutnya, seekor lagi lembu ditemui dalam bonet belakang kereta dan dua bilah pisau.

“Ketiga-tiga lembu itu telah diikat di bahagian kaki secara berasingan.  Pemeriksaan lanjut turut menemui sebatang paip yang telah diubahsuai menjadi sumpit, tiga batang suntikan berisi cecair pelali, tiga batang suntikan kosong dan satu botol kaca mengandungi cecair pelali.

“Lebih memeranjatkan lagi, pemeriksaan seterusnya turut menjumpai selaras senapang angin di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Hamazah berkata, hasil pemeriksaan ke atas nombor casis kenderaan juga telah ditukar dipercayai bagi menjalankan kegiatan jenayah curi lembu berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan remah dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(aa) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan/ Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1958.

“Suspek utama berusia 28 tahun yang merupakan penternak mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini telah di hantar untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan dalam cubaannya melarikan diri.

“Suspek berusia 19 tahun pula bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Sumber: Sinar Harian