SHAH ALAM - Rakyat negara ini perlu memahatkan semangat patriotisme yang tinggi dan tidak goyah dengan ketamakan duniawi serta terjerumus ke dalam kancah jenayah rasuah serta salah guna kuasa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, mereka perlu menghayati erti kemerdekaan sebenar serta memerdekakan diri daripada cengkaman budaya yang boleh menghancurkan pembangunan insan dan negara.
“Rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara sehingga boleh menyebabkan kemerdekaan yang telah kita kecapi 60 tahun yang lalu lumpuh serta musnah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, rakyat perlu berganding bahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan dengan membina bangsa dan negara yang bersih daripada anasir rasuah.
Untuk itu, beliau menyeru supaya seluruh rakyat dapat bersama-sama memerdekakan jiwa daripada ketamakan dan kecintaan kepada harta yang bukan sepatutnya menjadi milik mereka.
“Rakyat juga perlu bersama-sama memerdekakan keluarga daripada rezeki yang diperolehi secara haram melalui rasuah dan dapat memerdekakan diri dengan menyatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian