MH17: Malaysia Meterai MOU Desak Penyerang Didakwa


PUTRAJAYA - Malaysia semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai Sokongan Politik Untuk Mendakwa Dalang Di Sebalik Terhempasnya MH17.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memeterai MoU itu yang diadakan di kediaman rasmi Wakil Tetap Belanda ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Anifah berada di New York bagi menghadiri Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang berlangsung hingga 26 September ini.

Selain Malaysia, Menteri Luar Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine turut memeterai MOU itu mewakili kerajaan masing-masing, selaku lima negara yang menubuhkan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bagi menyelaras siasatan jenayah berkaitan tragedi MH17.

Anifah berkata, tindakan itu mengukuhkan lagi iltizam dan muafakat semua negara berkenaan untuk mendapatkan keadilan.

Ia juga bagi memastikan dalang di sebalik serangan terhadap MH17 bertanggungjawab atas perbuatan mereka, seperti mana digariskan Resolusi 2166 Majlis Keselamatan PBB. 

"Malaysia memberi komitmen penuh untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam serangan terhadap MH17 dan memastikan mangsa serta keluarga yang terbabit mendapat keadilan sewajarnya.

"Malaysia juga berpuas hati dengan siasatan JIT setakat ini, yang diterajui Belanda. Kita yakin pendakwaan di bawah undang-undang Belanda menjadi pilihan terbaik untuk menghadapkan mereka yang terbabit ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Sumber: BH Online