ALOR SETAR- “Mikhail sedar semalam (kelmarin) dan bertanya di mana mak dan tok (nenek) namun kami memujuknya supaya berehat dulu kerana dia sakit.”
Begitu kata ahli keluarga Marziana Mahadzir, 37, ketika menceritakan perkembangan terkini anak Marziana, Muhammad Mikhail Jafrul Nizam, 5, yang dirawat di Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak (PICU) selepas cedera parah di kepala dan patah tiga tulang rusuk kanan menyebabkan kecederaan pada paru-paru kanan.
Kanak-kanak itu terbabit dalam kemalangan selepas bapanya, Jafrul Nizam Jaafar, 38, mengejar ibunya dengan kereta jam 2 petang, Rabu lalu.
Menurut ahli keluarga terbabit, Mikhail boleh bercakap dan keadaannya semakin baik.
“Walaupun sedar, keadaannya lemah dan kami tidak mahu mengganggu emosinya walaupun dia ingin bertemu dengan mak dan toknya.
“Marziana juga semakin pulih namun perlu mendapatkan rawatan di hospital. Cuma kami sekeluarga kecewa dengan kisah viral (tular) dan komen orang ramai yang tidak mengetahui cerita sebenar,” katanya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Menurutnya, mereka sedih membaca komen menuduh Marziana dan bekas suaminya bertemu di Hotel Tabung Haji untuk berbincang sedangkan perkara itu tidak berlaku.
“Pada hari kejadian, Marziana membawa anaknya yang tidak sihat ke KMC (Kedah Medical Center) namun bekas suaminya ada menghantar WhatsApp, tetapi dia lambat membalas kerana bertemu doktor.
“Namun selepas selesai urusan di KMC, dia membalas WhatsApp bekas suaminya itu, tetapi terkejut melihat lelaki terbabit berada di luar bangunan pusat perubatan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, bimbang keselamatan diri, Marziana masuk ke dalam kereta dan beredar namun dikejar lelaki itu sehingga terbabit dalam kemalangan.
“Marziana sebenarnya sudah lima tahun berpisah dengan lelaki itu.
“Malah hak penjagaan anak diserahkan kepada Marziana sementara mahkamah membenarkan suaminya mengambil anak mereka sebulan sekali,” katanya.
Usaha menemu bual Marziana tidak dibenarkan ahli keluarga yang tidak mahu mengganggunya yang belum sihat sepenuhnya.
Seorang lagi mangsa kemalangan, Koperal Faizal Baharom, 36, ketika ditemui juga masih lemah dan tidak mampu bercakap kerana menahan kesakitan di kepala.
“Ketika kejadian, saya baru selesai menghantar kereta Proton Saga FLX milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke pusat servis dan dalam perjalanan pulang sebelum terbabit dengan kemalangan itu,” katanya.
Isterinya Hazila Abdul Hamid berkata, akibat kemalangan itu, hidung suaminya patah, dahi berjahit dan lelangit dimasukkan besi selain mengalami darah beku di kepala yang akan dibedah dalam tempoh terdekat ini.
“Saya menyedari kejadian itu jam 3.30 petang selepas anggota TUDM datang ke rumah di Pulau Timbul, Jitra bagi memaklumkan kemalangan terbabit.
“Saya bergegas ke hospital dan lihat suami dalam keadaan kepala berdarah dan dia memberitahu sakit kepala,” katanya yang mengandung tujuh bulan anak kedua.
Hazila menganggap ia dugaan menyambut Aidiladha namun bersyukur suaminya selamat.
Sementara itu, difahamkan bekas suami Marziana kini di bawah pemantauan hospital bagi masalah bipolar yang dipercayai menjadi punca dia bertindak sedemikian.
Portal berita Harian Metro, Rabu lalu melaporkan tindakan lelaki mengejar bekas isterinya dengan kereta dipercayai akibat masalah perebutan anak menyebabkan kejadian buruk berlaku apabila kereta dipandu mereka terbabit dalam kemalangan yang turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu Faizal dirempuh di Titi Gajah.
Sumber: MyMetro