KUALA LUMPUR- Biarpun Alif Aziz yang menjadi gandingannya dalam drama rantaian, Meh Sandar Pada Aku, terheret dalam kancah kontroversi, namun Mira Filzah tidak gusar beraksi semula dengan artis kelahiran Singapura itu.
Teruja kembali ke set penggambaran musim baharu drama terbitan Zeel Production itu, Mira memberitahu, dia bersikap profesional dalam melunaskan tanggungjawab di lokasi.
"Saya tiada masalah jika kami terus digandingkan. Ketika penggambaran musim pertama drama itu, saya dan Aliff seronok sepanjang berada di lokasi penggambaran.
"Saya juga selesa dengan isteri Aliff, Bella Astillah yang turut menemaninya di lokasi," katanya kepada BH.
Mira berkata, mungkin tempoh penggambaran agak panjang iaitu lebih empat bulan, hubungan mereka jadi rapat.
"Disebabkan itu, saya tidak kisah jika kami digandingkan lagi dalam produksi lain," katanya.
Mira juga menyenangi bakat pelakon dan penyanyi tinggi lampai yang popular dengan lagu Sayang Sayang itu. Malah, Mira mudah mencari keserasian kerana Aliff tidak pernah lokek berkongsi idea.
"Sikap positif Aliff itu memudahkan kami untuk memberikan apa yang dimahukan produksi," katanya.
Gandingan Mira yang memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, dengan Alif menerusi Meh Sandar pada Aku 2 , sedang disiarkan di slot Akasia TV3.
Sumber: BH Online