Misi Amal Faizal Tahir Di Indonesia


KUALA LUMPUR- Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Faizal Tahir merancang untuk menganjurkan misi amal dan kerja sukarelawan di Indonesia bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara serumpun.

Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, berkata perbincangan sudah diadakan dan usaha itu akan dijalankan bersama beberapa rakan selebriti dari sana.

"Memang sudah ada perbincangan dengan rakan selebriti di Jakarta, antaranya bersama penyanyi dan pelakon, Dewi Sandra yang begitu aktif menyokong aktiviti sukarelawan. Kami ambil peluang ini untuk melaksanakan aktiviti amal di sana.

"Insya-Allah pada Januari depan, kami akan ke sebuah perkampungan di Acheh untuk membantu penduduk di sana mendapatkan bekalan air bersih dan pelbagai aktiviti lain," kata Faizal kepada BH Online.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Assalamualaikum itu ditemui pada majlis pengumumannya sebagai antara ahli panel Persidangan Sukarelawan Serantau Asia Pasifik IAVE Ke-15 anjuran Yayasan Salam Malaysian yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia, Md Ghani Ibrahim.

Sebagai panel, Faizal akan berkongsi pandangan dan pengalamannya mengenai kerja sukarelawan yang pernah disertainya bersama delegasi dalam dan luar negara ketika persidangan berlangsung pada November ini.

Tambah Faizal, dia turut merancang untuk mengadakan sebuah konsert amal yang akan menyaksikan gabungan artis dua negara terbabit sebagai usaha mengumpul dana.

"Untuk perancangan jangka masa panjang, kami berhasrat menganjurkan siri jelajah yang diakhiri dengan konsert besar. Saya percaya muzik juga mampu merealisasikan impian itu," katanya.

Sumber: BH Online