EMPAT PULUH TUJUH pusat pengajian pondok dan tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan mengikuti kursus keselamatan kebakaran dalam masa terdekat.
Ketua Zon 1 JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Azmi Ahmad berkata, kursus yang terbahagi kepada bahagian teori dan praktikal itu akan diadakan pada 20, 25 dan 27 September depan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang.
"Setakat ini, hanya 47 pusat pengajian pondok dan tahfiz sama ada di bawah seliaan kerajaan atau persendirian berdaftar dengan JBPM Terengganu melalui penubuhan Skuad Pondok dan mungkin jumlah yang berdaftar akan meningkat dari masa ke masa.
"Sebanyak 16 sekolah akan terbabit dalam setiap sesi yang mana mereka akan menghantar lima wakil termasuk mudir dan warden menjalani kursus di akademi berkenaan.
"Pada sebelah pagi, mereka akan diberikan taklimat latihan pencegahan kebakaran manakala mereka akan diberi pendedahan simulasi cara mengendalikan alat pemadam kebakaran pada sebelah petang," katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Tahfiz An Nur, Desa Jayadi Sungai Tong, Permaisuri hari ini.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh.
Menurut Wan Azmi, sekolah pondok dan tahfiz juga dialu-alukan bekerjasama dengan JBPM Terengganu untuk mengadakan latihan situasi sebenar kebakaran di premis mereka.
"Kita menggalakkan latihan kebakaran diadakan pada waktu malam ketika pelajar tidur supaya mereka lebih peka dengan situasi kecemasan," katanya.
Sumber: MyMetro