Muhammad Amri Jadikan Kerbau Haiwan Kesayangan


KUALA TERENGGANU – Ji­ka seseorang memelihara kerbau sebagai suatu usaha menternak, ia suatu yang masih lumrah tetapi jika memilikinya sebagai haiwan kesayangan, tentunya kedengaran agak janggal kerana di luar kebiasaan.

Ramai yang membayangkan haiwan sebesar itu dan bersifat agak liar tidak akan menjadi begitu jinak dan mesra sebagaimana haiwan peliharaan lain seperti kucing, apatah lagi tentunya tidak boleh dibawa masuk ke dalam rumah.

Seorang guru, Muhammad Amri Azmi, 26, membeli dua ekor anak kerbau tiga tahun lalu menggunakan wang anugerah kecemerlangan Yayasan Nege­ri Terengganu selepas beliau mendapat Ijazah Kelas Pertama dalam bidang pendidikan pada tahun 2015.

Beliau yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh, kira-kira 170 kilometer dari rumahnya di Merbau Patah di sini mengisi waktu terluang hujung minggu de­ngan memanjakan dua ekor kerbau jantan 'Debab' dan ‘Badang’.

Menurut guru itu, beliau me­ngambil masa dua bulan untuk menjinakkan mereka sejak berusia lebih setahun termasuk menyuap­kan makanan dan membiarkan haiwan itu menjilat tangannya.

“Debab dan Badang (kerbau balar) akan segera datang apabila dipanggil, seperti binatang lain juga kedua-duanya suka dibelai dan diberi perhatian.

“Debab dan Badang yang sudah menjangkau usia tiga tahun mempunyai jadual rutin harian untuk dimandikan dan dibersih­kan badannya.

“Kedua-duanya juga se­ring minum air manisan gula Melaka selain air biasa dan air garam,agar le­bih sihat,” ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, hanya musim cuti penggal persekolahan dan hujung minggu sahaja memberi ruang waktu yang panjang kepadanya berinteraksi dengan kerbau-kerbaunya.

“Sepanjang seminggu saya menumpukan perhatian kepada tugasan mengajar dan terpaksa tinggal di Kampung Cheneh kera­na jaraknya terlalu jauh dari rumah. Semasa ketiadaan saya, makan minum Debab dan Badang kawan saya yang uruskan.

Muhammad Amri berkata, kini kedua-dua kerbau itu ma­sing-masing menjangkau 100 kilogram berat bernilai RM6,500 yang boleh ditunggang dengan mudah.

“Kedua-duanya dipelihara di dalam kawasan berpagar seluas 0.46 hektar yang sebahagiannya ditanam dengan rumput ‘Na­pier’ untuk makanan,” ujarnya yang turut gemar meredah hutan mengumpul orkid tempatan.

Sumber: Utusan Online