Muhammad Taib Kembali Ke Pangkuan UMNO, Bantu Tawan Semula Selangor


SETELAH enam tahun  bersama parti pembangkang, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kini kembali ke pangkuan UMNO bagi meneruskan perjuangan Melayu dan membela agama Islam

Bekas Naib Presiden UMNO itu membuat pengakuan tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada sidang akhbar khas, di PWTC, Kuala Lumpur petang ini. 

Najib berkata, Muhammad u yang juga bekas Menteri Besar Selangor berikrar untuk bersama-sama bagi menjamin kejayaan UMNO terutama untuk menghadapi PRU14 khususnya  di negeri Selangor.

Perdana Menteri bekata, beliau menerima Muhammad kembali kepada UMNO dengan ikhlas hati  dan tidak dijanjikan apa-apa jawatan atau kedudukan.

Sementara Muhammad menyatakan beliau mengambil keputusan kembali  kepada UMNO selepas mendapati perjuangan  bersama pembangkang selama ini hanya sia-sia sahaja.

" Mereka tidak ada bincang agenda Melayu, Islam dan saya khuatir orang Melayu akan hilang haknya, jadi tiada jalan lain yang boleh selamatkan selain menyertai UMNO untuk memajukan bangsa, " katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Najib yang sudi menerima beliau kembali dan berjanji akan bersama pemimpin UMNO di negeri Selangor bagi membela kepentringan Melayu yang diketepikan oleh parti pakatan pembangkang.

Menurut beliau, kerajaan Selangor pimpinan pembangkang nampak sahaja gah di luar tetapi sebenarnya banyak hak Melayu diketepikan dan merugikan mereka.

Beliau bimbang ada pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh berikutan perpecahan Melayu sekarang ini bagi mengambil alih kuasa Melayu.

Muhammad mengingatkan  hilangnya pemerintahan kerajaan kesultanan Melayu Melaka pada 1511 hingga menyebabkan ia terjajah selama 450 tahun adalah angkara penghkianatan dan  perpecahan orang Melayu.

"Orang Melayu perlu bersama UMNO untuk memperkukuhkan perpaduan dan ekonomi Melayu," kata beliau lagi.

Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta ahli Majlis Tertinggi UMNO. - Kedahnews.com