Najib Selar Pembangkang Burukkan Malaysia Dalam Media Amerika


DATUK Seri Najib Tun Razak menyelar pihak pembangkang dan penyokong mereka yang memburuk-burukkan nama Malaysia dalam media Amerika dengan tuduhan liar, hingga membawa kepada dakwaan palsu kononnya Malaysia menghadapi bahaya pemerintahan diktator.

Dalam artikel penuh kecaman keras disiarkan menjelang ketibaannya untuk lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata kebolehan pembangkang berhujah menentang kerajaan dengan begitu terbuka dan rancak membuktikan semakin meningkatnya kebebasan yang dinikmati rakyat Malaysia.

"Tetapi dengan secara palsu mencerca demokrasi Malaysia yang vibran dan menyebarkan fitnah dan kepalsuan mengenai kerajaan ini dalam akhbar luar negara semata-mata untuk faedah politik adalah satu hal yang lain.

"Itu tidak menunjukkan kebanggaan tentang apa yang telah kita capai. Tidak juga ia menunjukkan kecintaan terhadap negara kita," kata Najib dalam tulisannya bertajuk 'Rekod Demokrasi dan Kebebasan Bersuara Malaysia adalah Kukuh' disiarkan pada blog beliau, najibrazak.com.

Najib dijadual tiba di Washington DC pada Isnin untuk lawatan 11-13 Sept atas undangan Presiden AS Donald Trump.

Najib berkata kerajaan menaruh kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia dan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat.

Beliau berkata, pembangkang bagaimanapun cuba memberi gambaran dalam akhbar Amerika kononnya pengkritik kerajaan sering dipenjara .

"Mengapa pula anda dapati pujian terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam akhbar kebangsaan kita, dan perbahasan rancak - termasuk sekian banyak kritikan terhadap kerajaan - dalam web portal Malaysia?", kata Perdana Menteri.

Najib berkata hakikatnya ialah kerajaan mempertahankan demokrasi, kebebasan bersuara dan keluruhan undang-undang.

"Rekod kita adalah jelas, seperti mana meningkatnya kebebasan rakyat di bawah pentadbiran ini, kata beliau dan mengambil perhatian bahawa pembangkang dialu-alukan malah telah menyertai perdebatan dengan kerajaan, sebagaimana mana rakyat Malaysia tahu berdasarkan laporan dalam media tradisional dan media baharu.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa di bawah pentadbirannya, demokrasi Malaysia telah diperkukuhkan dengan hasil-hasil perubahan yang hebat sejak kemerdekaan termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menghapuskan Akta Daurat yang wujud lebih 60 tahun.

Ini, Najib berkata, merupakan langkah-langkah utama yang memerlukan keberanian politik yang hebat.

"Tetapi kami melangkah ke hadapan dengan langkah itu kerana dengan memansuhkan undang-undang lapuk dan menindas ini merupakan langkah yang tepat, katanya.

Penambahbaikan lain yang telah diambil termasuk meningkatkan kebebasan media dengan membatalkan sekatan terhadap lesen penerbitan akhbar dan pembaharuan Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam kegiatan politik.

Najib seterusnya berkata bahawa demonstrasi, yang tidak akan dibenarkan di bawah bekas pemimpin, telah berlaku di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini, katanya, disebabkan Akta Perhimpunan Aman yang julung kali digubal dalam bentuk undang-undang memberi hak untuk mengadakan bantahan secara aman di mana kerajaan mengiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat demokratik.

Berhubung dakwaan tentang pemerintahan diktator, Najib menyebut mengenai keanihan oleh kerana seorang daripada pemimpin pembangkang mengakui bahawa beliau adalah seorang diktator ketika berkuasa selama 22 tahun.

"Dan memang benar semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beratus-ratus orang dilokap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Akhbar, termasuk sebuah harian kebangsaan perdana ditutup. Badan kehakiman diserang.

"Kroni kapitalisme merebak, dengan urusan dibuat begitu ketara membebankan rakyat hari ini. Rakyat tidak ada hak untuk berdemonstrasi, dan pelajar tidak dibenarkan menyertai politik, kata perdana menteri.

Mengenai kepercayaan kukuh kerajaan dalam menegakkan keluhuran undang-undang, Najib berkata ini adalah penting kepada kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan mana-mana masyarakat.

"Dan kecemerlangan peraturan pasaran kewangan yang telah kita laksanakan, misalnya, telah diiktiraf dalam pelbagai ranking dunia, kata Najib yang juga menteri kewangan.

Tentang pilihan raya yang dipertandingkan dengan sengit dan kebebasan menyuarakan pendapat seseorang, Najib berkata Malaysia mempunyai rekod demokrasi paling mantap dan lama dalam seluruh Asia Tenggara.

Pilihan raya negara yang lepas membuktikan ini, kata beliau, dengan parti-parti berlainan menawan negeri-negeri dan ahli politik terkemuka kehilangan kerusi mereka, kerana tidak ada keputusan yang boleh dijamin dalam undian demokrasi bebas.

"Terpulang pada rakyat untuk memilih, dan itulah rekod yang harus dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia," kata Najib.

Bernama