Najib Tunai Janji Bawa Isu Rohingya Kepada Trump


WASHINGTON - Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunaikan janjinya kepada rakyat Malaysia untuk membawa isu kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, beliau boleh dikatakan telah dapat mempertingkatkan pengetahuan Trump tentang isu Rohingya dengan kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama sepakat mendesak kekejaman ke atas mereka dihentikan. 

“Trump juga meminta bantuan kemanusian dikaji. Saya tidak fikir gesaan bersama itu boleh dikeluarkan tanpa sumbangan daripada Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan tiga hari ke AS di sini hari ini.

Dalam kenyataan bersama itu, Malaysia dan AS mendesak Myanmar menghentikan segera keganasan terhadap etnik Rohingya dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa.

Kedua-dua pemimpin juga mahu krisis kemanusiaan menyayat hati yang menjadikan etnik Rohingya sebagai sasaran kekejaman dihentikan segera.

Mereka turut sepakat perlu ada kerjasama kukuh membabitkan masyarakat antarabangsa bagi menangani kekejaman terhadap ribuan mangsa, termasuk yang telah melarikan diri ke Bangladesh.

Sumber: Utusan Online