DATUK Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sekali sebanyak RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) membabitkan dana RM7 juta bagi tujuan pemantapan dua organisasi itu.
Mengumumkannya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK2017) dan Malaysia Food Festival di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang Selangor semalam, Perdana Menteri berkata peruntukan sebagai menghargai usaha golongan yang membekalkan sumber makanan negara itu akan memanfaatkan seramai sejuta anggota persatuan dari kalangan peladang, penternak dan nelayan seluruh negara.
"Menjadi peladang, penternak dan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah pekerjaan yang cukup mulia dan sebagai golongan yang dekat di hati saya, sumbangan 'wira tidak didendang' ini perlu disanjung tinggi,"katanya.
Menurutnya, sektor pertanian dan agromakanan menyumbang sebanyak RM89.3 bilion dan RM36.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2016, manakala pengeluaran komoditi makanan utama seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.9 peratus setahun dalam tempoh 2011 hingga 2016.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan itu mampu 'menyegarkan' pimpinan peladang dan nelayan kawasan dalam konteks memajukan lagi sektor masing-masing.
Terdapat sejumlah 278 PPK di negara ini dan 88 PNK.
Bertemakan "Makanan Kita, Masa Depan Kita" perasmian HPPNK, yang akan berlangsung selama empat hari sehingga 1 Okt itu, turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Perdana Menteri berkata pemain industri pertanian perlu berpandangan global dan mencipta kekayaan melalui sektor itu dan tidak hanya 'bermain' di peringkat tempatan dengan berpandangan pertanian, penternakan dan perikanan hanyalah untuk 'cukup makan'.
Katanya walaupun potensi industri pertanian belum direalisasikan sepenuhnya namun bibit-bibit kejayaan itu makin kelihatan berdasarkan sambutan global terhadap durian, sarang burung walit, herba dan rumpai laut yang kini menjadi produk premium negara.
Najib menarik perhatian bahawa lawatannya ke China telah membuka pasaran baharu produk pertanian, terutamanya durian yang telah dibenarkan untuk dieksport ke negara Tembok Besar itu selain kejayaan menarik pelaburan sebanyak RM144 bilion ke Malaysia.
Perdana Menteri turut berkongsi bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab meminta supaya durian dibenarkan dieksport ke China ketika bertemu pemimpin utama negara itu, yang menyaksikan pengusaha durian Musang King memperoleh keuntungan besar apabila nilai eksportnya melebihi RM100 sekilogram.
Kejayaan itu jelas menepis fitnah pembangkang kononya beliau menjual kedaulatan negara sedangkan kunjungannya telah membuahkan pelbagai kejayaan yang akhirnya membawa manfaat besar kepada rakyat, katanya.
Menjadikan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai contoh lain, Perdana Menteri berkata kemudahan rel merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang itu bakal membawa banyak manfaat kepada petani, penternak dan nelayan dalam aspek mengeksport pengeluaran mereka.
"Dengan sistem logistik baharu yang moden dan efisien, pengedaran produk pertanian oleh nelayan, penternak dan petani tidak lagi perlu melalui orang tengah dan keadaan itu tentunya memberi lebih keuntungan kepada pengeluar," kata Najib.
Beliau berkata pembangunan ECRL itu juga dijangka membantu meningkatkan ekonomi di Pantai Timur sebanyak 1.5 peratus setahun yang antara lain disebabkan kuasa beli yang bertambah.
"Kebaikan hubungan baik dengan negara kuasa ekonomi ini tidak didedah pembangkang sedangkan tujuan kita adalah jelas iaitu apabila menjadi sebahagian daripada 'global supply chain', kita akan membawa banyak keuntungan kepada petani, penternak dan nelayan," katanya.
- Bernama