Negeri Kedah Rekodkan Kes Chikungunya Tertinggi Sehingga September


ALOR SETAR - Negeri Kedah telah merekodkan kes chikungunya paling tinggi setakat 9 September tahun ini dengan 189 kes daripada 255 jumlah keseluruhan.

Rekod selebihnya dilaporkan di negeri Selangor dengan 33 kes, Johor (24), Kelantan (7) dan Perak dua kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaru wabak chikungunya adalah di Sungai Udang, Yan, Kedah.


Selain itu, kes demam denggi bagi tempoh 3 hingga 9 Sept turut menunjukkan peningkatan dengan 1,223 kes berbanding 1,171 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata walaupun peningkatan itu tidak ketara, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera supaya trend pertambahan kes pada penghujung tahun seperti sebelum ini dapat dibendung.

Tambahnya, jumlah kumulatif kes denggi yang direkodkan mengurang sebanyak 11,171 kes kepada 66,906 berbanding 78,077 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Jumlah keseluruhan kematian demam denggi juga telah menurun sebanyak 27 kematian dengan 149 kematian dilaporkan pada tempoh sama tahun ini berbanding 176 kematian pada 2016," katanya dalam satu kenyataan pada Bernama semalam.

Ujar Dr Noor Hisham, sejumlah 438 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 lokaliti 'hotspot' semasa direkodkan di enam negeri.

Bagaimanapun, setakat 9 Sept tahun ini, pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan mendapati keputusan ujian bagi 1,307 sampel darah dan 29 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus berkenaan adalah negatif.- Kedahnews.com