Netizen Buru Pencungkil Mata Kucing


PETALING JAYA - Geram dengan manusia kejam yang telah mencungkil mata seekor kucing, seorang wanita dan pengguna media sosial berhasrat untuk 'membalas dendam' bagi pihak haiwan kesayangan ramai itu.

Wanita berkenaan, Surita Yahaya, 25, berkata perasaan tersebut timbul apabila niatnya untuk memulihkan seekor kucing tanpa mata yang ditemuinya dalam keadaan sangat lemah, malam Selasa tidak kesampaian.

Menurut Surita, 'Kasem Selamat' yang ditemuinya di Medan Selera Taman Putra Perdana, Puchong, mati beberapa minit sebelum sempat menerima rawatan di klinik haiwan pada pagi keesokan harinya, Rabu.

"Saya jumpa Kasem Selamat di tandas lelaki dengan bantuan seorang rakan Facebook yang memaklumkan tentang keadaan kucing itu yang buta. Saya namakannya Kasem Selamat sebab 'dia' mengiau walaupun pertama kali saya memanggilnya dengan nama itu.

"Bila lihat keadaan Kasem, saya tergamam, saya terfikir orang gila mana yang sanggup cungkil biji matanya, rasa macam nak cari orang tu dan korek mata dia macam mana dia buat pada Kasem," katanya kepada mStar Online.

Rupa-rupanya bukan Surita sahaja yang mahu membalas dendam dengan cara itu jika diberi peluang, sebaliknya rakan-rakan pecinta kucingnya di Facebook turut mahu melakukan perkara sama.

Keinginan itu dapat dilihat dalam ruangan komen apabila Surita memuat naik posting tentang kekejaman manusia ke atas Kasem yang mendapat perhatian ramai netizen.

Bercerita lanjut tentang Kasem, Surita berkata dia dapat melihat dengan jelas kesan mata haiwan malang itu dicungkil dengan benda tajam, selain bahagian lehernya mempunyai kesan lebam dan bengkak.

"Saya cuci darah di matanya dan hingusnya yang dah pekat. Saya agak Kasim Selamat sudah menahan sakit selama dua tiga hari.

"Malam itu selepas dimandikan, Kasem hanya mahu minum beberapa titis air dan akhirnya tidur di pangkuan saya," katanya.

Menurut Surita, dia terkilan apabila Kasem yang dibawa ke klinik haiwan pada awal pagi Rabu mati ketika doktor mahu memasukkan air ke dalam badannya sebaik sahaja melihat haiwan itu kritikal.

"Misi saya untuk selamatkan Kasem gagal. Doktor kata Kasem mungkin mati disebabkan jangkitan sudah sampai ke otak atau dehidrasi, memang saya salahkan orang yang mencungkil matanya itu," katanya dalam nada kesal.

Surita yang sering mengutip kucing-kucing terbiar di jalanan untuk dipulihkan berkata kes kucing dicungkil mata adalah kes paling teruk dan tidak berhati perut yang pernah ditemuinya sepanjang melakukan kerja-kerja penyelamatan.

Jelasnya, sebelum ini, dia banyak menyelamatkan kucing jalanan yang sakit, tempang atau anak kucing yang tidak mempunyai ibu.

Menurut wanita dari Melaka ini, dia percaya perbuatan ini dilakukan oleh warga asing.

"Peniaga di medan selera beritahu dua, tiga hari sebelum saya bertemu Kasem mereka nampak sekumpulan warga asing mengambilnya jadi saya anggap mereka suspek utama.


"Naluri saya kuat menyatakan ia perbuatan mereka sebab ada warga asing pernah beritahu ibu saya daging kucing sedap, matanya mereka makan sebagai 'ubat'," katanya.

Mengenai aktiviti mencari, mengutip dan menjaga kucing-kucing terbiar, Surita berkata dia melakukan kerja amal ini kerana terlalu sayangkan haiwan, khususnya kucing.

Katanya, hampir setiap malam selepas mengajar kelas tambahan secara sambilan, dia akan keluar mencari kucing-kucing yang memerlukan bantuan atau rawatan sebelum mereka dibawa pulang.

Surita kini mempunyai 15 ekor kucing jalanan yang telah dipulihkan berserta dua kucing peliharaannya sendiri.

"Saya ni takut anjing, tapi kalau suatu hari saya nampak anjing perlukan bantuan saya rasa saya sanggup tolong.

"Sebab itu saya marah sangat dengan orang yang dera haiwan, lebih-lebih lagi yang cungkil mata Kasem, kenapa perlu siksa macam tu tak dibunuh terus," katanya.

Dia juga menasihatkan orang ramai terutamanya pencinta kucing supaya bersikap adil terhadap haiwan itu dengan menyayanginya tanpa melihat baka atau fizikalnya.

Katanya, kucing jalanan dan kucing tempatan juga berhak mendapat perlindungan dan jagaan sama rata seperti mana kucing-kucing import atau kucing lain yang sempurna fizikalnya.

Sumber: MStar Online