Nor Mohamed Letak Jawatan Lembaga Pengarah Khazanah, Pengerusi KRI


BEKAS Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengambil tanggungjawab tentang kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga tukaran wang asing (forex) meletak jawatan daripada Lembaga Pengarah Khazanah berkuat kuasa 30 September ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah mengemukakan surat peletakan jawatan beliau semalam pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-84 .

"Nor Mohamed juga akan mengosongkan jawatan Pengerusi Khazanah Research Institute yang disandang beliau berkuat kuasa tarikh yang sama,’’ menurut Khazanah dalam kenyataan akhbar semalam.

Menurut kenyataan itu, beliau juga akan mengosongkan jawatan Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang disandangnya berkuat kuasa tarikh yang sama.

Mengulas perkembangan itu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan, merakamkan penghargaan atas sumbangan Nor Mohamed.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas sumbangan beliau kepada Khazanah, terutama peranan beliau dalam pelaksanaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) berjangka 10 tahun diterajui Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC.

"Lembaga Pengarah Khazanah menerima keputusan Tan Sri Nor Mohamed dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," katanya.

Nor Mohamed, 70, yang berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Khazanah selama 15 tahun, adalah ahli Lembaga Pengarah paling lama dan satu-satunya Timbalan Pengerusi dalam sejarah 23 tahun Khazanah.

Beliau berperanan penting dalam kejayaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan termasuk rombakan dan transformasi Khazanah dari 2004 hingga sekarang, termasuk Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan yang berjangka 10 tahun dari 2004 hingga 2015, pembangunan pelbagai koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia serta pembentukan Yayasan Hasanah dan KRI.

Semua inisiatif dilaksanakan ketika beliau memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah dan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam termasuk Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri (2000-2003), Menteri Kewangan II (2004-2009) dan Menteri Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri (2009-2013).

Nor Mohamed ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang ­asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an mengaku bertanggungjawab dalam kes kerugian lebih RM30 bilion itu.

Bagaimanapun beliau menafikan bahawa semua keputusan berkaitan urus niaga forex oleh bank pusat itu ditentukan oleh beliau secara bersendirian sekaligus mencetus tandatanya tentang "suara ghaib" yang memberi arahan sebenar. - Kedanews.com