BOTA - Operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Perak, diteruskan pagi ini.
Operasi kira-kira jam 9.10 pagi itu turut dibantu Unit Pengesan Anjing (K9) dan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam kejadian Rabu lalu, pelajar Maahad Tahfiz Masjid Lama Lambor Kanan, Nik Aiman Nik Abd Malek,13, dikatakan tergelincir ketika memancing di belakang maahad berkenaan kira-kira jam 9.45 pagi.
Operasi mencari segera dilakukan disertai pelbagai angensi antaranya polis, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.
Bapa mangsa, Nik Abd Malek Nik Hussein, 42, berkata, kali terakhir dia berjumpa Nik Aiman pada Selasa lalu selepas menghantar kembali anaknya itu ke maahad berkenaan.
"Pada hari raya kedua lalu saya datang ambik dia dan adiknya yang juga belajar di sini untuk balik beraya di Ipoh.
"Sepanjang berada di rumah hingga saya hantarnya ke sini semula tidak ada apa-apa perubahan dan dia seperti biasa sahaja.
"Aiman memang seorang anak yang baik dan taat, setiap kali balik dia hanya duduk di rumah membaca dan menghafal al-Quran,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Dia mengakui, terkejut apabila dimaklumkan anak ketiga dari lima beradik itu lemas ketika memancing.
"Saya dapat panggilan kira-kira jam 11 pagi, semalam mengatakan anak saya tergelincir ke dalam sungai ketika memancing.
"Anak saya memang tidak pernah memancing dan seorang yang tidak suka keluar secara sesuka hati,” katanya.
Sumber: Sinar Harian