Pakaian Basah Punca Noraina Hampir Terlepas Duduki UPSR


KUANTAN – Gara-gara pakaian seragam sekolah basah, seorang murid Orang Asli hampir terlepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor di sini kelmarin.

Namun, kehadiran guru di rumah murid itu di Kampung Gedung Siam untuk menjemputnya ke sekolah membantunya menduduki peperiksaan itu.

Kesungguhan ditunjukkan dua­ guru SK Paya Bungor terha­dap anak murid mereka itu menjadi tular di laman sosial Facebook.

Sementara itu, murid Orang Asli yang hanya dikenali sebagai Noraina, 12, berkata, pada mulanya dia mahu ke sekolah tetapi mengalami masalah apabila pakaian seragam sekolahnya basah kerana terlupa mengambilnya di ampaian.

“Saya bukan tidak ada pakaian seragam sekolah tetapi baju saya basah kerana terlupa mengambilnya semasa dijemur di luar rumah.

“Malam itu (Ahad) hujan lebat, sebab itu baju sekolah saya basah. Saya tiada baju lain hendak dipakai ke sekolah dan membiarkan adik kembar saya, Noraini ke sekolah sendirian,” katanya di sini semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia terkejut sebaik sahaja melihat kelibat dua orang gurunya tiba di rumahnya kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

“Cikgu ada menyuruh saya memakai baju kokurikulum atau baju kurung biasa tapi saya tak mahu sebab pakaian tak sama dengan rakan lain.

“Selepas itu, sepupu saya datang dan meminjamkan pa­kaian seragam sekolah miliknya sebelum saya terus mengikut cikgu ke sekolah,” katanya yang mengakui pasti terlepas menjawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman yang merupakan subjek kegemarannya jika guru tidak menjemputnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Paya Bungor, Bahar Nizam Baharudin tidak menyangka status yang dimuat naik di Facebook sekolah berkenaan menjadi tular dan menganggap sudah menjadi tanggungjawab guru memastikan setiap murid hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.

Dalam masa sama, beliau sedikit kesal apabila ada beberapa pihak sengaja memutarbelitkan status tersebut sehingga menyebabkan salah faham dalam kalangan netizen.

“Sebenarnya, pakaian seko­lah Noraina basah selepas hujan pada Ahad lalu. Dia malu memakai pakaian lain untuk hadir ke sekolah.

“Pihak sekolah mengetahui ketidakhadiran Noraina sele­pas dimaklumkan oleh kembar­nya, Noraini. Berikutan itu Guru Pe­nolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Mohd. Ali Hanipah dan Guru Sains, Khairul Nizam Aseh bergegas ke rumah murid itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari sekolah untuk menjemputnya,” kata beliau.

Sumber: Utusan Online