Pamer Aksi Perlahan, Ketiadaan Tonggak Utama Punca Kedah Tewas


ALOR SETAR - Permulaan rentak yang perlahan di awal masa pertama dan ketiadaan beberapa tonggak utama adalah antara faktor kekalahan pasukan Kedah apabila kalah 1-3, kepada FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Kenyataan berikut turut diakui ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha yang mengatakan pasukannya ketinggalan kerana bermula dengan rentak agak perlahan sehingga berlaku kesilapan yang menyebabkan gawang mereka dibolosi dua gol.

Menurut Nidzam, ketiadaan tonggak utama yang masih cedera turut memberikan impak besar kepada pasukan Helang Merah dan beliau mengharapkan mereka sempat pulih sepenuhnya menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor Ahad ini.

"Akibat ketinggalan dua gol, kita berusaha untuk mengembalikan rentak dan selepas 20 hingga 25 minit perlawanan, barulah kita beraksi dengan corak permainan sebenar, namun sedikit lewat apabila kita sudah ketinggalan dua gol.

"Ketiadaan pemain pemain utama menjadi punca kekalahan. Kebiasaannya, jika pemain pemain utama ada dan cergas untuk bermain, bukan ini keputusannya.

"Jaringan dua gol hasil dari sepakan percuma Wan Zack Haikal itu adalah di luar jangkaan kita. Kita tahu prestasi Kedah di Darul Aman kebiasaannya amat baik, tapi kali ini agak menurun. Kita terpaksa menerima kekalahan ini disebabkan prestasi yang kurang baik," katanya yang dipetik dari BHonline.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Selangor pada Ahad ini, Nidzam yakin semua pemain sedar mengenai kepentingan perlawanan dan Kedah mempunyai kelebihan jaringan gol ditempat lawan dan peluang ke pusingan seterusnya agak cerah.

"Tiada pilihan. Kita hanya mencari kemenangan dan kita akan berikan segala-galanya kerana beraksi di laman sendiri. Berdasarkan kelebihan jaringan gol di tempat lawan, kita mempunyai peluang cerah untuk ke pusingan seterusnya,'' ujarnya.

Ketika disoal mengenai rombakan senarai pemain yang bakal menentang Selangor nanti, beliau menegaskan akan mengekalkan barisan pemain yang berjaya meledak tiga gol ketika aksi suku akhir pertama di Selayang tempoh hari. -Kedahnews.com