PAS hari ini mempesoalkan tentang pendirian PAN, PKR dan PPBM berhubung penganjuran Pesta Arak 2017 yang dipertahankan oleh DAP yang bakal di adakan di Kuala Lumpur.
Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata PAN sebelum ini mendabik dada kononnya mampu memainkan peranan sama sebagaimana PAS iaitu memperjuangkan Islam namun hanya mendiamkan diri dalam isu tersebut.
Sikap tersebut katanya, mungkin kerana perlu menjaga hati DAP yang merupakan penyokong kuat pesta tersebut.
"Tokoh-tokoh 'jihad' dalam PAN semua diam, bukan sahaja membabitkan isu pesta arak malah dalam semua perkara apabila ia bersangkutan dengan DAP.
"Mereka tak boleh berbuat apa-apa kerana takut DAP marah," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sementara itu dua parti sekutu DAP iaitu PPBM dan PKR juga tidak berani menghalang DAP yang mahu pesta itu diteruskan.
Kelmarin Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim dipetik sebagai berkata Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.
Menurut Chang Khim, PAS yang membuat bantahan terhadap pesta itu sepatutnya faham bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS sahaja yang tinggal di negara ini.
Exco Selangor itu mahu pesta itu diteruskan dan tidak memperdulikan desakan PAS walaupun PAS turut membentuk keranjaan pakatan di negeri itu.
Ekoran kenyataan itu Pemuda PAS Pusat mencabar parti komponen dalam pakatan pembangkang untuk menyatakan pendirian mereka berhubung penganjuran pesta arak itu.
Naib ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata suara lantang yang dizahirkan DAP dalam mempertahankan penganjuran berkaitan (pesta arak) dilihat bukan sahaja satu kebiadaban, bahkan modal kepada provokasi tipikal parti tersebut di mana acapkali membayangi aktiviti seperti itu.
"Kami juga mencabar dan menuntut parti-parti komponen Pakatan Harapan (PAN, PPBM dan PKR) menyatakan pendirian dan sikap mereka berhubung isu ini.
Berdiam diri bererti bersetuju dan bersekongkol, sekali gus mengesahkan DAP adalah ‘ketua’ sebenar PH yang tidak berani disanggah sama sekali," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan laman Facebook Pas Pusat, hari ini - Kedahnews.com.
