Pantau Elak Tragedi Berulang



KERAJAAN negeri meminta pihak berkaitan supaya dapat melakukan pemantauan sewajarnya terhadap semua bangunan sekolah di seluruh negeri ini sama ada milik kerajaan, swasta atau persendirian agar tragedi di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada pagi semalam berulang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan agensi lain yang berkaitan diminta agar memantau dan melakukan pemeriksaan kepada semua sekolah di negeri itu.

"Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu amat berdukacita dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terbabit kejadian kebakaran pagi tadi(Khamis).

"Saya dan seluruh rakyat Terengganu berharap mereka semua dapat bersabar dengan dugaan yang berlaku," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Festival Kenyir 2017 di Dataran Gawi, Kuala Berang, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri akan minta seluruh sekolah kerajaan, swasta, pusat tahfiz, pusat tuisyen dan sebagainya di negeri itu untuk mematuhi undang-undang berkaitan berkaitan bagi mengelak kejadian sama berlaku.

Katanya, semua sekolah perlu memastikan tahap keselamatan di sekolah masing-masing berada dalam keadaan terbaik dan peralatan kecemasan berfungsi dengan baik.

Sumber: MyMetro