Paras Beberapa Sungai Di SPU Masih Normal


BUTTERWORTH - Paras sungai di beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Utara ini berada pada paras normal setelah hujan dilaporkan berhenti sejak 8 malam tadi.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan Saliran(JPS) Seberang Perai Utara, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi berkata  kadar hujan dilaporkan berada pada kadar lebat sebelum berakhir malam tadi.

"Hujan dianggarkan sekitar 100mm dan dilaporkan berhenti sekitar jam 8 malam tadi.

"Faktor kawasan rendah serta berdekatan sungai terdapat beberapa kawasan dinaiki air dan melibatkan beberapa kawasan di Sungai Dua dan di Seberang Perai Utara.

"Antara kampung yang terlibat adalah  Kampung Lahar Yooi, Kampung Labuh Banting, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Cegar, Kampung Tok Jawa, Kampung Lahar Tiang dan Kampung Simpang Tiga, namun air difahamkan mula beransur-ansur surut," katanya.

Adun Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohd Noor(tengah) turun ke lokasi terlibat banjir di kawasan Sungai Dua.

Katanya, buat masa ini pihaknya memantau keadaan dari masa ke semasa paras sungai-sungai di sekitar Seberang Perai Utara ini.

"Buat masa ini keadaan masih terkawal namun dengan cuaca yang tidak menentu ini, dan andai berlakunya hujan lebat secara langsung ianya akan memberi kesan kepada paras air.

" Orang ramai dinasihatkan agar melaporkan pada pihak berwajib untuk membantu keperluan seandainya banjir kilat berlaku," katanya.

Sumber: Sinar Online