Parti Pembangkang Yang Musuhi PAS Akan 'Terpelanting' - Hadi


KUALA TERENGGANU - PAS tidak sedikit pun rugi setelah hubungan dan kerjasama parti itu dengan gabungan parti pembangkang terputus sebaliknya mereka yang kini memusuhi PAS akan 'terpelanting'.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu terus meraih sokongan hebat daripada rakyat, sedangkan gabungan parti pembangkang yang kini menjadi 'musuh' PAS semakin hilang pengaruh.

Dengan 7,000 cawangan PAS dalam 195 kawasan seluruh negara, adalah satu kerugian besar apabila Pakatan Harapan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PAS yang mempunyai kekuatan jauh lebih besar daripada gabungan parti pembangkang, kata Adbul Hadi.

"Kita sangat terbuka dengan parti lain, termasuk rakan Pakatan Rakyat dulu. Cuma mereka yang tidak tahu menilai kekuatan PAS.

"Mereka sepatutnya sedar PAS ada 195 kawasan di seluruh negara dan 7,000 cawangan. Mereka tidak boleh singkir PAS.

"Kalau singkir PAS mereka akan terpelanting. Bukan kita singkir mereka, (tetapi) mereka menyingkirkan diri mereka sendiri," katanya sepertimana yang dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena Fastaqim 2.0 di Kelab Golf Kuala Terengganu, di sini, malam tadi..

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, Pakatan Harapan tidak perlu takut dengan PAS, sebaliknya perlu menghormati kekuatan parti itu yang boleh mengganggu-gugat sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Sambil menjadikan Fastaqim 2.0 yang sedang berlangsung sebagai indikator kemampuan PAS dalam meraih sokongan rakyat terhadap parti itu, beliau turut menyelar pemimpin Parti Amanah Negara, Hanipa Maidin, yang menyifatkannya sebagai 'mengarut' apabila menggesa ahli PAS hadir ke program itu.

"Terpulang pada ahli PAS untuk menilai saya. Saya tidak perlu orang lain menilai saya.

"Ahli PAS terdiri daripada kalangan pelbagai pihak, bukan sahaja orang kampung, tetapi juga kalangan profesional, ulama, pensyarah dan orang bukan Islam.

"Adakah mereka semua ini ditipu? Adakah 200,000 yang hadir hari ini semua kena tipu? Terpulang kepada mereka menilai sendiri," katanya.

Abdul Hadi juga mengakui Fastaqim 2.0 adalah sebahagian persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai hasrat DAP mahu merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada PRU-14, Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang berkata:

"Ini negara demokrasi, boleh bertanding di mana sahaja dia nak letak calon asalkan ada kawasan Parlimen. Asalkan bukan Pulau Kapas, Pulau Bidong".

Abdul Hadi juga dijadual melancarkan jentera pilihan raya PAS pada kemuncak Fastaqim 2.0, malam esok.

PAS yang enggan bekerjasama Pakatan Harapan yang diketuai DAP kini menjadi sasaran kecaman pengerusi gabungan pembangkang itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha beliau untuk memecahkan kesatuan itu bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional dan UMNO pada PRU14.  - Kedahnews.com