Parti Sosialis Malaysia Cabar DAP, PKR Di Perak Pada PRU14



IPOH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan meletakkan enam calonnya di enam kawasan yang disandang DAP di negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Parti itu telah mengumumkan bertanding tujuh kerusi iaitu dua kerusi Parlimen - Batu Gajah dan Sungai Siput serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - Tronoh, Menglembu, Jelapang, Buntong dan Malim Nawar. 

Ini bermakna PSM akan menentang DAP di Parlimen Batu Gajah selain Parlimen Sungai Siput yang disandang oleh PKR.

PSM turut mengumumkan nama tujuh calon parti itu, iaitu K Kunasegaran di Parlimen Batu Gajah dan Dr Michael D Jeyakumar (Parlimen Sungai Siput).

Sementara bagi kerusi DUN, M Saraswathy (Jelapang), Chin Kwai Leong (Menglembu), Chin Kwai Heng (Tronoh), R Mohanarani (Buntong) dan K Bawani (Malim Nawar). 

Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S Arutchelvan, berkata parti itu bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih sekiranya DAP tidak mahu berunding.

"PSM hanya mahu bertanding di tiga peratus daripada keseluruhan kerusi pilihan raya di Malaysia. Kami berharap pakatan pembangkang tidak ganggu kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Pada PRU-13, Dr Jeyakumar bertanding dan menang kerusi Parlimen Sungai Siput atas tiket PKR, manakala Saraswathy yang bertanding atas tiket Bebas kalah pertembungan tiga penjuru di DUN Jelapang. 

Arutchelvan berkata, PSM bagaimanapun sedia berunding dan memberi laluan kepada DAP sekiranya parti itu dapat mengemukakan calon lebih baik, berkualiti serta mampu memperjuangkan kepentingan rakyat berbanding calon PSM. 

Begitupun, beliau berharap DAP akan memberi ruang kepada PSM bertanding di enam kerusi terbabit atas alasan partinya mempunyai calon berkualiti dan berkaliber.

"Pengumuman awal calon dibuat bagi memudahkan gerak kerja pilihan raya dan calon mengenali pengundi," katanya.

Sementara itu Barisan Nasional juga mahu merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Siput yang pernah diwakili oleh Presiden MIC, Tan Sri S. Samy Vellu dan DUN Jalong  daripada pembangkang pada PRU14 akan datang.

Keyakinan BN itu berdasarkan rekod pilihan raya terdahulu selain memperbanyakkan program turun padang untuk berjumpa rakyat.

Pada PRU11 BN menang di Sungai Siput, manakala DUN Jalung BN menang pada PRU12. -Kedahnews.com