PAS Kedah Sumbang RM60,000 Untuk Rohingya, Alukan Sumbangan Rakyat


ALOR SETAR - Prihatin terhadap kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat muslim etnik Rohingya yang tertindas di Myanmar, PAS Kedah tampil memberikan sumbangan jariah untuk membantu mereka yang kini terpaksa menjadi pelarian di bumi asing.

Sumbangan wang tunai berjumlah RM60,000 itu diserahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Dato' Dr Mohd Hayati Othman kepada Pengarah PASRelief yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat,  Muhammad Sanusi Md Nor, di sini semalam.

Memetik laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, Dr Hayati menjelaskan bahawa sumbangan tersebut adalah hasil kutipan dilakukan oleh PAS Kawasan seluruh Negeri Kedah dan disalurkan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan antarabangsa PAS.

"Khusus untuk membantu Muslim Rohingya di kem-kem pelarian. Sumbangan tersebut adalah jumlah terkumpul hasil sumbangan ahli PAS dan orang ramai melalui PAS kawasan-kawasan di negeri ini," katanya.

Namun begitu, Dr Hayati turut menjelaskan bahawa golongan tertindas itu masih memerlukan lebih banyak sumbangan khususnya untuk memenuhi aspek keperluan hidup dan menampung sara hidup mereka.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Kedah supaya tampil sama membantu dengan menghulurkan sumbangan masing-masing kepada golongan yang memerlukan tersebut.

"Sehingga kini PAS Kedah masih mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan individu yang sudi menghulurkan bantuan demi meringankan derita yang ditanggung oleh pelarian Rohingya.

"Masih terlalu banyak keperluan mendesak yang mesti segera dilakukan untuk menyelamatkan pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh seperti makanan, pakaian, bekalan air bersih dan khemah," ujar beliau lagi.

Difahamkan bahawa yang terkini, dianggarkan lebih 450,000 orang etnik Rohingya terpaksa menjadi pelarian dan mengharapkan agar mana-mana negara dunia memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Malaysia merupakan sebuah negara yang konsisten memberikan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya bermula dengan misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) pada 2012 yang membawa sumbangan yang bernilai hampir RM10 juta.

Pada awal tahun ini, misi Flotilla ke Myanmar dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang turut membawa 2,000 tan ubat-ubatan dan keperluan asas untuk diserahkan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine itu.

Malah dalam satu majlis bantahan terhadap kekejaman rejim Myanmar terhadap ratusan ribu entik Rohingya itu, Mohd Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut bersatu hati untuk berdiri sepentas lantang menyuarakan bantahan.


Orang ramai yang berhasrat untuk membantu menerusi PASRelief, boleh meneruskan sumbangan mereka melalui akaun Maybank Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 atau diserahkan ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kedah di talian 04-7481122. - Kedahnews.com