PAS Mungkin Akan Hilang Deposit, Kata Mahathir


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir menjangkakan PAS bagai tidak mempunyai harapan untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Mendedahkan sifir politiknya menerusi satu sesi wawancara dengan sebuah portal pro-pembangkang baru-baru ini, bekas Perdana Menteri itu malah mendakwa PAS mungkin akan hilang deposit di beberapa kerusi nanti.

"Mungkin ada tempat-tempat tertentu PAS akan hilang deposit," kata Mahathir yang mengandaikan majoriti pengundi bukan Melayu tidak lagi memberikan undi kepada PAS, sebaliknya yakin akan diberikan kepada Pakatan Harapan.

Bapa kepada mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu juga yakin bahawa parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) akan mudah menewaskan PAS pada PRU ke-14 nanti meskipun parti itu kurang popular di negara ini.

"Walaupun ia (PAN) parti baru, mungkin tidak begitu popular, tapi kita lihat ramai orang yang tak suka kepada PAS.

"Dan pada mereka, kalau PAN bertanding mewakili Pakatan Harapan, ramai akan memilih Paktan Harapan," katanya bagaikan "ahli nujum".

Justeru itu, Mahathir tidak gusar untuk bertembung dengan PAS dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-13 nanti.

Rekod pertembungan tiga penjuru Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebelum ini menunjukkan PAS berjaya mengatasai PAN sebanyak 801 undi di Kuala Kangsar, namun tewas 707 undi di Sungai Besar.

Mahathir ketika kedua-dua PRK berkenaan turut turun padang membantu kempen calon PAN, namun dikatakan gagal memberi impak besar. - Kedahnews.com