SHAH ALAM - Tindakan Pas yag menggunakan isu perkauman untuk menarik undi tidak ubah seperti taktik yang digunakan oleh Umno terhadap orang Melayu selama ini.
Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Pas sepatutnya menggunakan politik sebagai alat perpaduan, namun sebaliknya kenyataan dibuat Pas semakin memecahkan masyarakat negara ini.
"Dulu Pas lah yang menentang habis-habisan dan menolak politik perkauman tetapi sekarang Pas pula yang mewujudkan api perkauman.
"Pas ini tidak ubah seperti Umno yang cuba menggunakan isu kaum untuk menarik undi dengan menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP supaya mereka tidak mengundi pembangkang," katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya lagi, DAP menang semua kerusi yang dipertandingkan dalam PRU14 ini, mereka tidak akan mampu membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan tanpa parti-parti komponen Pakatan Harapan.
Ini kerana kerusi yang akan ditandingi DAP tidak banyak.
"Dulu semasa Pas berada dalam Pakatan Rakyat, merekalah yang memanggil Tun M 'ultra Melayu' tapi sekarang mereka kata Tun M diperkudakan oleh DAP.
"Betapa mudahnya seseorang yang dikenali sebagai 'ultra Melayu' tapi sekarang ini difitnah sebagai kuda DAP. Secara logiknya, mana mungkin seseorang yang diperkudakan oleh DAP mampu menjadi Pengerusi Pakatan.
Jelasnya lagi, Bersatu adalah parti pribumi yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu-islam tanpa mengenepikan hak-hak kaum yang lain.
"Bukan DAP yang mendominasi Pakatan Harapan, kita juga ada PKR dan Amanah di mana majoriti daripada ahli parti itu adalah Melayu dan Islam.
"Kita perlukan pemimpin daripada pelbagai kaum tapi masih ada hasutan-hasutan berunsur perkauman yang dilakukan.
"Hentikan lah politik perkauman bawa politik yang matang," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian