PAS Tempelak Parti "Berhingus" Dengan "Cawangan Alam Maya"


ALOR SETAR - PAS yakin dengan kemampuan parti itu dan jenteranya untuk memberikan impak besar serta mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, PAS bukan sebuah parti "hingusan" seperti parti yang bergabung di dalam Pakatan Harapan, sebaliknya memiliki 7,000 cawangan dan 195 kawasan di seluruh negara.

Malah katanya, PAS juga lebih realistik berpijak dan tidak menipu diri sendiri dengan cawangan yang hanya wujud di ruang media sosial internet seperti pihak yang begitu galak menyerang parti itu.

"PAS sudah lawan Perikatan dan kemudiannya BN dalam PRU sejak tahun 1955 lagi sehingga yang terakhir tahun 2013 dan akan terus lawan BN. Hanya dalam PRU 1974 sahaja PAS tak lawan BN ketika PAS berada dalam BN.

"Tiba-tiba ada gabungan parti yang masih berhingus dan sebahagian besar pimpinan mereka asalnya cari makan dalam BN, menuduh PAS bertanding kerana nak menangkan BN. Teori mana mereka guna?

"Bukan urusan kita nak ambil peduli walau ada suara sinis yang mengeji, ada cawangan banyak pun bukannya menang! Habis tu kamu yang hanya ada cawangan di alam maya ingat boleh menang?," kata Dr Azman, memetik kenyataannya di Harakahdaily.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan bahawa PAS akan bertanding di 100 kerusi Parlimen daripada jumlah keseluruhan sebanyak 222 kerusi di seluruh negara pada PRU ke-14.

PAS kini sedang diserang hebat oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya yang juga merupakan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta kepimpinan Pakatan Harapan lain yang dikuasai DAP.

Antara hujah yang digunakan untuk menyerang PAS adalah dengan menggunakan propaganda yang mendakwa parti itu kononnya menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO menjelang PRU ke-14.

Susulan itu, PAS beberapa kali menegaskan pendirian mereka kepada ahli, penyokong dan masyarakat bahawa parti itu tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan UMNO, namun bertindak matang bekerjasama dalam isu membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang begitu mesra sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika menyuarakan bantahan Malaysia terhadap kekejaman rejim Myanmar terhadap etnik Rohingya sebelum ini menjadi "modal" untuk mereka mengelirukan rakyat dan memperkuatkan hujah mereka.

Namun begitu, rakyat di negara ini dikatakan lebih bijak untuk menilai kebaikan atas kematangan politik PAS dan UMNO itu selain dijangka tidak akan memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk menguasai politik negara dengan propaganda politik kebencian mereka. -Kedahnews.com