Pasangan Kekasih Dicekup Lepas Gian Di Pondok Dalam Hutan Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR - Sepasang kekasih dicekup oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang lepas gian di sebuah pondok dalam hutan di Hosba, Bukit Kayu Hitam.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) AADK, Suhaimi Abu Bakar berkata, pasangan tersebut antara 136 penagih yang ditahan dalam Op Perdana 3 bagi empat daerah di negeri ini yang bermula sejak 12 September lalu.

“Kedua-dua mereka dipercayai baru sebulan menghuni pondok terbabit dan menjual dadah secara kecil-kecilan.

“Ketika serbuan tiada sebarang bahan terlarang ditemui, namun ujian urin mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika Op Cegah Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, semalam.

Kedua-dua yang ditahan tersebut berusia dalam lingkungan 30-an.

“Tapi apa yang mengejutkan kami, mereka tidak mahu berpisah walaupun kita perlu mengasingkan mereka mengikut jantina.

“Mungkin pengaruh dadah menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara waras,” katanya.

Difahamkan bahawa antara daerah yang tersenarai dalam  operasi berkenaan ialah Padang Terap, Kulim, Kubang Pasu dan Kota Setar.

“Operasi yang kita jalankan ini bertujuan mengesan dan menahan orang disyaki penagih untuk menjalani rawatan serta pemulihan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“AADK bukan berniat untuk menghukum penagih, tapi kita cuba beri peluang kepada mereka mendapatkan kehidupan lebih baik tanpa dadah,” katanya. - Kedahnews.com