Pekerja E-Idaman Baling Pulang Duit Ketika Asingkan Sampah Dipuji Netizen


ALOR SETAR - Kejujuran tiga pekerja Syarikat E- I Daman Sdn Bhd (E-Idaman) Baling dipuji netizen kerana berlaku amanah dalam menjalankan kerja selepas memulangkan  wang bernilai RM2,300 yang dijumpai kepada pemiliknya di Kupang , Baling patut dijadikan contoh teladan yang baik.

Tiga pekerja tersebut didakwa menjumpai wang tersebut ketika sedang mengasingkan sampah di Depoh Tapak Pelupusan Pulai, pada Selasa dan menelefon penyelia syarikat tersebut sejurus selepas itu.

Menurut Pengurus Operasi Unit Perkhidmatan Baling, Shazwan Shahbudin, pihaknya menerima panggilan untuk membersihkan rumah wanita warga emas berusia 60-an di Taman Seri Mawar, Kampung Landak, Kupang.

"Sehari sebelum kejadian, ada seorang lelaki hubungi E Daman untuk tolong bersihkan rumah ibunya yang merupakan pencari barang-barang lusuh.

"Duit tersebut diletakkan dalam plastik bersama barang-barang lusuh  sebelum semuanya dibawa balik empat pekerja lain ke depoh," Katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihak E -Idaman memuji sikap terpuji tiga lelaki terbabit kerana memilih untuk jujur daripada mendiamkan diri.

"Mereka boleh saja mendiamkan diri tanpa pengetahuan sesiapa tetapi mereka tetap memilih untuk jujur. 

"Tiga lelaki itu bukannya dari keluarga senang, hanya pekerja am. Tetapi Kejujuran mereka pulangkan duit itu sangat mahal," berikut kata-kata yang dipetik dari Sinar Online.

Shazwan berkata, duit itu sudah diserahkan semula kepada keluarga berkenaan dan pihak syarikat akan mengadakan pertemuan dengan tiga pekerja berkenaan untuk diberikan anugerah.

Tindakan mereka memulangkan wang dalam bungkusan plastik itu turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai. -Kedahnews.com