Pelajar Jatuh Daripada Tingkap Cuba Selamatkan Diri


KUALA LUMPUR- "Saya nampak ada pelajar jatuh daripada tingkap cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran," demikian cerita seorang penduduk yang menyaksikan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, di sini awal pagi semalam.

Nurhayati Abdul Halim, 46, yang tinggal bertentangan dengan pusat tahfiz itu bangun pagi terdengar bunyi bising di luar rumahnya kira-kira pukul 5 pagi.

Katanya, sejurus membuka pintu dia terus melihat api yang sedang marak.

"Saya dengar ustaz dan para pelajar menjerit meminta tolong dan cuba menyelamatkan diri daripada tingkat atas.

"Saya hanya mampu menangis sahaja kerana tidak mampu membantu," katanya ketika ditemui Kosmo di sini semalam.

Setakat 12.30 tengah hari tadi, seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran berkenaan.

Sumber: Kosmo