KUALA LUMPUR - Hasil pemerhatian peribadi yang mendapati bekalan cili merah tidak mampu menampung permintaan tinggi dalam pasaran, terutama ketika musin perayaan, mencetuskan idea Muhammad Nur Salehin Qornain, 24, untuk mengusahakan tanaman itu sejak Januari tahun lalu.
Bersandarkan minat mendalam terhadap dunia keusahawanan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di Management & Science University (MSU) itu membuka perniagaan Chili Hybrid Agro dengan dua rakan, Muhammad Adib Rapid'e dan Abdul Hakim Hamidon.
Pada peringkat awal, mereka berdepan cabaran mengumpulkan modal RM150,000 bagi menyediakan peralatan dan bahan asas, termasuk set fertigasi, baja serta racun, selain menyewa tanah dan membayar upah pekerja.
Harungi kesulitan
Berbekalkan wang simpanan sendiri dan bantuan keluarga, impian itu berjaya direalisasi membabitkan ladang seluas kira-kira 3.24 hektar dengan kira-kira 17,300 polibeg di Kampung Penderas serta FELDA Sungai Behrang, Slim River, Perak.
Bagi Muhammad Nur Salehin, sektor perniagaan mampu menjana pendapatan yang bagus, di samping melatih diri menjadi lebih berdisipin dari segi pengurusan masa, fokus dan menimba pelbagai kemahiran penting.
"Saya memberi tumpuan pada pengajian dari Isnin hingga Jumaat, manakala hujung minggu pula ke ladang," katanya.
Sepanjang mengusahakan perniagaan itu, beliau dan rakan kongsi cekal mengharungi pelbagai kesulitan, antara lain kawasan penanaman pernah dilanda banjir serta pokok cili diserang penyakit menyebabkan sebahagiannya terpaksa dibuang dan membuahkan hasil tidak berkualiti.
INFO
Chili Hybrid Agro
- RM200,000 anggaran pendapatan diperoleh dalam tempoh enam bulan
Sumber: BH Online