PADAWAN - Keseronokan sekumpulan 28 pelancong asing berkayak di Sungai Semadang hari ini bertukar cemas selepas mereka menemui mayat tersangkut pada batu berdekatan Kampung Danu, Puncak Borneo, di sini.
Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui pada jam 12.30 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada polis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 1.59 tengah hari meminta bantuan mengambil mayat berkenaan.
Katanya, enam anggota bersama sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan tiba di lokasi pada jam 3.16 petang dan membawa mayat untuk diserahkan kepada polis.
Sungai Semadang menjadi daya tarikan utama pengunjung ke Puncak Borneo terutama penggemar aktiviti berkayak. - BH Online