Pemilik Kedai Dobi Islamik Tiada Niat Diskriminasi


KANGAR - Seorang pengusaha kedai dobi khusus untuk umat Islam terpaksa akur dengan kehendak pihak tertentu yang mahu perkhidmatannya itu turut dibuka kepada masyarakat bukan Islam.

Shalihuddin Naharudin, 36, berkata dia memulakan perniagaan kedai dobi berkenaan sejak dua bulan lalu dan memperkenalkan konsep seumpama itu dengan tujuan untuk menarik pelanggan Islam.

"Saya menggunakan konsep dobi hanya untuk Muslim ini adalah untuk mencipta kelainan dengan dobi lain.

"Kalau sama sahaja konsep dengan dobi lain macam mana perniagaan kita nak maju sebab di Perlis saja terdapat hampir 20 kedai dobi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di premisnya di Kampung Bakau, di sini semalam.

Menurutnya, kewujudan kedai dobi khas untuk Muslim adalah untuk memberi keselesaan kepada pelanggan beragama Islam, supaya tidak perlu lagi meragui tahap kebersihan pakaian mereka.

"Namun begitu, saya akan menghormati keputusan pihak tertentu yang kurang senang dengan konsep perniagaan saya, insya-ALLAH saya akan menurunkan papan tanda dan tulisan yang menyatakan dobi saya ini hanya untuk Muslim," katanya.

Sumber: Sinar Online