Pemuda UMNO Beri Perhatian Tentang Kajian Kemungkinan BN Kalah Pada PRU14


ALOR SETAR - Walaupun ada ramalan BN Kedah antara lima negeri bakal tumbang pada pembangkang  pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pergerakan Pemuda UM­NO Kedah tidak memandang remeh perkara itu dan akan mempertahankan negeri ini daripada ditawan.

Ramalan dan kajian tentang kemenangan dan kekalahan sesebuah negeri menjelang PRU adalah biasa dan salah satu perang seraf  yang digunakan oleh parti politik.

Bagaimanapun jentera Barisan Nasional (BN) akan melipat gandakan usaha dan tidak mengambil ringan ramalan pihak tertentu bahawa negeri itu akan jatuh ke tangan pembangkang.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, gesaan itu dilakukan atas dasar tidak mahu mereka berada dalam zon selesa.

“Namun kita yakin BN tidak akan tumbang begitu sahaja berikutan usaha pembaharuan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Antaranya, inisiatif memban­tu isi rumah melalui program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah), bantuan pendidikan dan inisiatif khas anak muda yang mana program ini akan menjadi penyebab rakyat Kedah memberikan soko­ngan kepada BN dalam PRU yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas hasil kaji selidik oleh parti pembangkang yang menunjukkan BN akan kehilangan kuasa di Kedah dan empat negeri lain. Bagaimanapun satu kajian lain daripada PAS menyangkal dakwaan itu kerana tanpa PAS bersama Pakatan Harapan BN akan menguasai lebih banyak kerusi .

Kata Shaiful Hazizy Pemuda UMNO Kedah yakin gaya kepemimpinan ‘cara Kedah’ yang diamalkan Ahmad Bashah semakin popular dan diterima oleh rakyat negeri ini malah mereka selesa dengan cara kepemimpinan tersebut.

“Namun kita tidak boleh menolak hasil kajian itu mentah-mentah dan perlu mencari asas dan sebab kajian tersebut. BN Kedah tidak boleh berada dalam zon selesa atau ‘sindrom penafian’.

“Mereka perlu membuat tapisan lebih daripada satu ‘lapisan’ kerana kita tidak boleh membuat kesilapan. Harus diingatkan kelekaan di zon selesa telah membuatkan BN tumbang dalam PRU ke-12 yang mana ketika itu BN sama sekali tidak menyangka akan tumbang di Kedah,” katanya.

Tambahnya, Pemuda UMNO yakin faktor kebimbangan mampu membentuk benteng politik yang lebih kukuh dan jentera parti perlu diperkuat sehabis baik malah persiapan rapi adalah senjata yang paling kuat untuk mempertahan kuasa pada PRU yang akan datang.

Kedah antara negeri yang menjadi rebutan pembangkang terutama PAS, selain parti dalam Pakatan Harapan.

PAS bercadang untuk meletak calonnya di semua 36 kerusi DUN sementara PKR mahu bertanding 16 kerusi dan selebihnya PAN, PPBM dan DAP. - Kedahnews.com