ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yakin Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah yang dimasyhur Sultan Kedah ke - 29 pada Selasa lalu memiliki karisme untuk mentadbir negeri ini berdasarkan pengalaman baginda yang luas sebagai Raja Muda Kedah dan penglibatan baginda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketuanya, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata baginda mempunyai karisma yang tinggi semasa dilantik sebagai Raja Muda berjaya melaksanakan tugas selama lima tahun lebih semasa Almahurm Tuanku Sultan Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong dan semasa baginda gering.
Gandingan yang mantap dan profesional bersama Tengku Temenggong,Tengku Laksamana serta Datuk Seri Tunku Intan Safinaz berjaya menyelesai isu peralihan kuasa Menteri Besar pada awal tahun lalu, kata Saiful Hazizy.
'Kami mempunyai kayakinan yang tinggi kepada Tuanku Sallehuddin untuk menerajui Kedah bersama Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi membangun negeri ini, " katanya lagi sambil merafak sembah tahniah di atas perlantikan baginda.
Menurut beliau, Tunku Sallehuddin diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab memerintah Kedah dengan adil dan saksama selain meneruskan legasi pemerintah raja berjiwa rakyat yang sebelum ini dipelopori Almarhum Tuanku Abdul Halim.
Tuanku Sallehuddin,75 tahun, menggantikan kakandanya, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat dalam usia 89 tahun di Istana Anak Bukit di sini Isnin lalu.
Baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Disember 2016.
Baginda diputerakan pada 30 April 1942, mempunyai kelulusan pendidikan tinggi daripada College of Military Engineering Poona di India.
Berminat dalam bidang ketenteraan mendorong baginda memilih menjalani latihan kadet dan dihantar ke India menjalani kursus ketenteraan di Indian Military Academy, Dehra Dun dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.
Baginda kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Oktober 1963.
Tunku Sallehuddin kemudian dinaikkan pangkat sebagai Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 RAMD di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang perkhidmatan, baginda terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.
Sementara itu, kata Saiful Hazizy, Pergerakan Pemuda Kedah turut merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Kedah di atas kemangkatanTuanku Abdul Halim.
Almarhum baginda merupakan sultan paling lama berada di atas takhta kerajaan negeri dan disayangi oleh suluruh rakyat semasa menjadi Raja Muda, Sultan Kedah dan Yang di Pertuan Agong. -kedahnews.com