Penduduk Berang Ancaman Anjing Tiada Kesudahan

SHAH ALAM - Berang dengan ancaman anjing yang tidak berkesudahan, lebih 100 penduduk Islam memasuki kawasan tapak pelupusan sampah berdekatan apartmen Melati, Taman Bukit Subang, di sini dengan membawa jentolak untuk meruntuhkan struktur binaan yang didirikan.

Mereka memasuki kawasan itu kira-kira jam 10 pagi sambil melaungkan takbir dan membawa sepanduk agar kawasan itu dirobohkan.

Mereka mahu pihak berkuasa menutup tapak operasi pelupusan sampah itu yang dilihat boleh mengancam kesihatan mereka seperti lalat dan asap selain boleh membawa penyakit rabies kesan gigitan anjing yang berkeliaran itu.

Paling membuatkan penduduk marah apabila anjing-anjing dipelihara pemilik pusat itu berkeliaran di kawasan kediaman penduduk termasuk surau serta memanjat kenderaan penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Mereka turut mendakwa tapak pelupusan sampah yang beroperasi di bawah talian penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diuruskan kumpulan kongsi gelap yang dilihat 'kebal' pada undang-undang.

Difahamkan, sudah banyak laporan dibuat kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan tegas diambil meskipun ia beroperasi sudah enam tahun.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Melati, Nor Azman Mohamed berkata, kehadiran anjing-anjing untuk menjaga kawasan itu telah memasuki kawasan kediaman penduduk termasuk surau serta boleh mengancam keselamatan anak-anak kecil.

"Kita bimbang boleh berlaku ancaman rabies di kawasan ini, sebelum perkara itu berlaku kami semua bertindak kerana tidak tahan lagi menghadap najis anjing saban waktu.

"Majoriti penduduk di sini adalah Islam, kita bukan rasis tapi kami mahu pihak tersebut faham dengan ajaran yang kami anuti serta perlu ada sikap hormat menghormati dalam negara yang kepelbagaian kaum ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pada masa sama, menurutnya, penduduk juga berdepan ancaman lalat yang boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada kesihatan.

"Sudah enam tahun kami bersabar namun perkara ini bagaikan tiada kesudahan, pihak berkuasa seolah-olah menutup mata dan alasan ia dijaga 'kumpulan kongsi gelap' betul-betul tak masuk akal.

"Jangan cabar kesabaran kami, sabar kami pun ada tahapnya," katanya.

Penduduk, Mahyuddin Ramli, 56, berkata, penduduk juga kesal kerana sebelum ini pihak MBSA ada membuat tangkapan anjing di kawasan berkenaan.

"Namun selang beberapa hari, anjing-anjing berkenaan dilepaskan di kawasan berdekatan sekali gus menyebabkan masalah anjing gagal ditangani sepenuhnya.

"MBSA sepatutnya tidak bertindak sedemikian sebaliknya mencari alternatif dalam usaha mengawal anjing berkeliaran di kawasan majoriti beragama Islam," katanya.

Jasmi Jaafar, 44, berkata, masalah yang tiada berkesudahan itu menyebabkan penduduk mengesyaki wujud 'ketirisan' dalam menangani masalah itu dalam kalangan pihak berkuasa termasuk MBSA, Polis, TNB, dan wakil rakyat peringkat Dun dan Parlimen.

"Lebih membuatkan kami terkilan apabila wakil rakyat kawasan iaitu Yaakob Sapari dan Khalid Samad enggan turun padang menyelesaikan masalah kami hari ini (semalam) dan hanya menghantar wakil untuk bertemu penduduk.

"Di mana tanggungjawab kedua-duanya sebagai wakil rakyat kawasan yang telah dipilih penduduk? kita minta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat perkara ini," katanya.

Menurutnya, pihak TNB juga diminta menutup kawasan tersebut dengan menaikkan notis serta membina pagar bagi mengelak sebarang pencerobohan pihak luar.

Melalui dokumen yang dikemukakan pihak yang mengakui bertanggungjawab di atas kawasan berkenaan pada 4 Mei  2011 lalu, mendapati mereka pernah mengemukakan permohonan kawasan rentis di bawah talian penghantaran voltan tinggi TNB bagi tujuan tanaman bunga melur dan pemeliharaan lembu.

Bagaimanapun TNB mengeluarkan notis bertarikh 5 Mei 2012 meminta pihak tersebut memberhentikan operasi di kawasan itu atas faktor keselamatan mengikut Seksyen 37 (11)(b), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan boleh dikenakan tindakan apabila disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, pemilik yang mengakui bertanggungjawab terhadap tapak pelupusan berkenaan memberi jaminan pihaknya akan memastikan anjing peliharaan mereka tidak akan berkeliaran di kawasan kediaman penduduk mulai esok (hari ini).

Sekitar jam 11.40 pagi kesemua penduduk sepakat bersurai dengan membawa keluar jentolak selepas menerima jaminan pihak tersebut sebelum memaklumkan akan bertindak lagi jika beliau ingkar.

Sumber: Sinar Harian