PENGASAS majalah Playboy, Hugh Hefner meninggal dunia pada usia 91 tahun pada Khamis.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh majalah Playboy kepada E Online, Hugh menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya iaitu The Playboy Mansion.
Punca kematiannya disebabkan sakit tua.
"Hugh M. Hefner, seorang ikon Amerika yang memperkenalkan majalah Playboy pada 1953 sehingga ia menjadi jenama terkenal dunia meninggal dunia dengan tenang disebabkan sakit tua.
"Mendiang meninggal dunia di rumahnya, The Playboy Mansion dan semua ahli keluarga berada di sisinya," tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, anak kepada Hugh, Cooper Hefner dalam kenyataannya pula memberitahu bapanya telah meninggalkan legasi dan meletakkan Palyboy antara jenama terkenal dunia.
"Dia akan sentiasa dirindui oleh ramai orang termasuk isterinya, Crystal, kakak saya Christie dan abang saya David dan Marston dan kami semua di Playboy Enterprise," ujarnya.
Dilahirkan pada 9 April 1926 di Chicago Illinois, Hugh pernah berkahwin dengan Mildred Williams pad 1949 sebelum bercerai sepuluh tahun kemudian.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Christie dan David.
Semenjak bercerai, Hugh dikaitkan dengan ramai wanita sebelum berkahwin dengan Kimberley Conrad pada 1989.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marston Glenn dan Cooper Bradford sebelum bercerai pada 2010.
Mendiang kemudiannya berkahwin pula dengan Crystal Harris pada Disember 2012.
Sumber: Mstar Online