Pengurusan Jenazah Lakar Sejarah, Selesai Dalam 3 Jam 15 Minit


KUALA LUMPUR – Pengurusan 23 jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah disempurnakan dalam masa tiga jam 15 minit dan purata masa untuk menguruskan setiap jenazah hanya mengambil masa lebih kurang lapan minit sahaja.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Abdul Aziz Jusoh berkata ia melakar sejarah tersendiri yang secara keseluruhannya, semua mangsa yang dikebumikan di sekitar Lembah Klang termasuk di Seremban, Negeri Sembilan diselesaiakan sebelum pukul 10 malam.

“Jenazah yang dikebumikan di Pengkalan Kubor, Kelantan selamat disemadikan kira-kira pada 3 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Aziz berkata pencapaian itu hasil kerjasama berpasukan serta sokongan padu oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membantu melancarkan lagi urusan pengurusan jenazah berkenaan.

“Jawi yang mengetuai kumpulan pengurusan jenazah mangsa kebakaran semalam mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu menguruskan jenazah-jenazah terbabit,” katanya.

Agensi yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur.

Pihak Jawi juga mendoakan agar seluruh anggota keluarga mangsa kebakaran diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian Allah, katanya.

Semalam, 22 jenazah selamat dikebumikan dengan 11 jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, manakala empat lagi jenazah, masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong; Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan, manakala jenazah terakhir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tujoh, Pengkalan Kubor. – BERNAMA