Peniaga Daging Maut Ditetak


SEGAMAT - Hasrat seorang lelaki yang ingin menjual daging lembu di Felda Chemplak, di sini, bertukar tragedi selepas dia maut ditetak seorang lelaki dalam kejadian, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, ketika kejadian, mangsa, Ahmad Radzi Jamaludin, 40, baharu sahaja memulakan perniagaannya sebelum didatangi suspek yang berumur 45 tahun.

“Suspek yang menunggang motosikal kemudian terus meluru ke arah belakang mangsa sambil membawa sebilah parang panjang berukuran 95 sentimeter (cm) sebelum menetak leher mangsa beberapa kali.

“Mangsa kemudian cuba menahan tetakan suspek menggunakan tangan kirinya namun tidak berjaya sebelum leher serta tangan kiri mangsa terkulai dan mengalami kecederaan parah,” katanya kepada Sinar Harian.  

Menurutnya, adik ipar mangsa dan beberapa penduduk tempatan yang berada di tempat kejadian serta pekerja mangsa telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Labis untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Segamat dan Balai Polis Labis berjaya menangkap suspek di Jalan Bahagia, Felda Chemplak kerana disyaki terlibat dalam kejadian bunuh tersebut.

“Kami turut merampas sebilah parang panjang berhulu kelabu, sebuah kereta dan motosikal milik suspek dan suspek akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kita akan meminta perintah reman terhadap suspek dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Shabariah Jamaluddin, 33, berkata, sudah menjadi kelaziman arwah abangnya untuk berniaga daging lembu setiap kali menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha.

Dia yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Sekijang berkata, dia yang bermalam di rumah rakannya di Kampung Jawa, di sini, hanya mengetahui kejadian malang menimpa abangnya selepas dihubungi oleh ahli keluarganya.

“Arwah meninggalkan seorang isteri serta tiga anak dan kali terakhir saya bertemu dengannya pada minggu lalu di rumah keluarga kami di Felda Redong dan ketika itu arwah begitu gembira apabila kami semua dapat berkumpul bersama.

“Kejadian ini meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kami sekeluarga tambahan pula berlaku pada hari kemerdekaan negara ke-60 dan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha,” katanya.  

Sumber: Sinar Harian