ALOR SETAR - Penuntut Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains dan teknologi di Universiti Utara Malaysia (UUM) berasa bangga apabila anak perempuan ketiganya dilahirkan pada tarikh ulang tahun kemerdekaan negara di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal pagi semalam.
Menurut Norsafinar Rahim, 37, dia langsung tidak menyangka bayi perempuannya itu yang diberi nama Hafsah Hanum Muhammad Hilmi dilahirkan pada tarikh keramat tersebut kerana dia dijangka melahirkan bayi pada 5 September ini.
"Saya berasa teruja dan bangga sangat apabila dikurniakan anak ketiga ini pada tarikh kemerdekaan negara," katanya ketika ditemui di HSB di sini semalam.
Dia bersama enam lagi ibu yang melahirkan bayi merdeka hari ini diraikan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diketuai Ahli Khidmat dan Bersekutu Rela Kedah, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela Datuk Ahmad Mansor.
Kata Norsafinar yang juga bekas pensyarah Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini, bayi seberat 3.2 kilogram (kg) itu selamat dilahirkan pada pukul 12.50 pagi semalam.
"Jarak kelahiran bayi ini dengan anak kedua saya, Maryam Hanum adalah sembilan tahun manakala anak sulung saya iaitu Fatmah Hanum pula berusia 12 tahun," ujarnya.
Sumber: Kosmo