Perenang Olimpik, Proud Mahu Balas Jasa Malaysia


KUALA LUMPUR - Perenang Olimpik Ben Proud, 22, dari Britain berharap dapat pulang ke Malaysia sebagai jurulatih apabila karier renangnya berakhir.

Proud, yang memenangi emas acara 50m kuak kupu-kupu di Kejohanan Dunia di Budapest, dilahirkan di England tetapi ibu bapanya datang ke Malaysia ketika dia berusia dua bulan.

Dia belajar berenang secara kompetitif ketika belajar di Sekolah Alice Smith di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur sehingga berusia 16 tahun.

Proud pernah dalam beberapa kejohanan di Selangor dan Terbuka Malaysia di mana dia meraih perak tetapi memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 50m kuak kupu-kupu. Namun rekod itu tidak diiktiraf kerana dia warga negara British.

Jurulatihnya ketika itu pernah meminta Proud untuk terus tinggal dan berlatih di Malaysia, tetapi selepas dia memperbaiki catatannya daripada 27 saat kepada 24 saat dalam acara kegemarannya itu, dia memutuskan untuk kembali ke England.

"Saya sedar untuk menjadi lebih baik saya perlu kembali ke England kerana enam tahun lalu, Kuala Lumpur tidak mempunyai kemudahan untuk melatih saya menjadi apa yang saya mahukan - juara dunia.

"Saya kerap pulang ke Malaysia dalam tempoh itu, tetapi selepas enam tahun saya kagum dengan kemudahan yang ada untuk perenang di sini. Kuala Lumpur membangun dengan pesatnya," kata Proud yang berada di Phuket di mana dia melatih lapan perenang negara yang bertuah.

Ibu bapanya kekal menetap di sini dan menguruskan firma hiasan dalaman.

Hujung minggu lalu, lapan perenang berbakat negara terpilih menjalani latihan eksklusif selama dua hari di bawah perenang Olimpik itu serta jurulatih elitnya di Phuket, Thailand.

Perenang-perenang bertuah itu adalah Andi Farhan (13 tahun), Nicole Shan Tee Teng (14), Toh Ting Wei (15), Caroline Lim Shi Chyi (11), Lau Ting Quan (14), Jess Lee Yen Yi (14), Shairul Aiman Jefry (13) dan Amelia Beatrix Chin Zhen Yi (15).

Program AirAsia Talent Pool adalah sebahagian daripada kerjasama empat tahun antara AirAsia dan Proud bagi menyokong perjalanannya melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020.

Sumber: BH Online