KOTA BHARU – Seorang perisik sebuah agensi kerajaan mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas dakwaan mencabul sepupu isterinya, bulan lalu.
Dakwaan terhadap Zulhilmy Ramly, 28, dibuat di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.
Tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa yang berusia 20 tahun itu dalam sebuah kereta di perkarangan rumah tidak bernombor di Kampung Langgar Tapang, Jalan Hospital, di sini, pada jam 9.30 pagi, 29 Ogos lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hamidah Mahmood, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan penafian tertuduh, Hamidah memohon tarikh sebutan dan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh pula memberitahu mahkamah dia bekerja sebagai perisik di sebuah agensi kerajaan dan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut.
“Saya baru sahaja menimang cahaya mata kedua dan banyak perbelanjaan yang diperlukan. Saya juga masih lagi bekerja di agensi itu untuk menampung keluarga,” katanya.
Habri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa.
“Sekiranya kamu melanggar syarat ini, maka saya akan naikkan jumlah jaminan atau membatalkan terus jaminan itu kamu,” katanya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Oktober depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.
Dalam perkembangan lain, seorang anggota tentera, Muhammad Firdaus Afzal Zurizam mengaku tidak salah di mahkamah sama atas dakwaan memiliki 1.62 liter (isi padu kasar) kodein di tepi Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5.30 petang, 30 Ogos lalu.
Kes ditetapkan pada 12 Oktober depan untuk laporan kimia dan tertuduh dibenarkan ikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sumber: Sinar Harian