Acap kali terpampang di dada-dada akhbar tentang golongan wanita yang mendakwa dizalimi suami, tidak diberi nafkah yang sewajarnya dan terbiar mendepani cabaran hidup di zaman serba mencabar ini.
Golongan wanita ini diabaikan suami sewenang-wenangnya tanpa pembelaan di mana secara tidak langsung telah lari dari konsep perkahwinan sebenar sebagaimana yang dianjurkan agama Islam.
Merujuk kepada kes-kes yang dilaporkan sebelum ini, boleh dikatakan rata-ratanya terjadi sedemikian adalah akibat "perkahwinan rentas sempadan".
Perkahwinan rentas sempadan dalam bahasa mudahnya adalah bermaksud perkahwinan di negara jiran tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam negeri atau "kahwin lari", yang merujuk kepada perkahwinan yang gagal mematuhi syarat prosedur yang ditetapkan mahkamah syariah.
Misalnya di negeri Kedah, perkahwinan itu adalah menyalahi Seksyen 9, Enakmen Islam Negeri Kedah 1979.
Lazimnya, perkahwinan rentas sempadan agak popular dijalankan di beberapa wilayah di selatan Thailand melibatkan daerah Songkhla, Narathiwat, Satun, Pattani dan Yala, ekoran daerah-daerah berkenaan diberi kebenaran untuk berbuat demikian.
Atas dasar "cinta" dan gagal mendapat restu keluarga, selain tujuan berpoligami, difahamkan bahawa perkahwinan rentas sempadan sering menjadi pilihan pasangan-pasangan di negara ini, termasuk Kedah.
Namun begitu, "disangkakan panas hingga ke petang", rupa-rupanya sikap memandang remeh kepada prosedur perkahwinan dengan mencari jalan mudah itu mengakibatkan "hujan di tengahari" dan mencetus pelbagai masalah di kemudian harinya.
Menyangkakan diri akan bahagia dan terbela selepas perkahwinan, ramai si isteri yang menghadapi masalah seperti status perkahwinan diragui keabsahannya dari sudut hukum agama Islam.
Akan timbul pula masalah ketiadaan hak sebagai isteri yang sah dari sudut perundangan sekiranya ia tidak didaftarkan secara sah di negara ini di mana ia akan mendatangkan seribu satu permasalahan yang bertimpa-timpa kemudiannya.
Selain itu, sekiranya berlaku penceraian, adalah agak sukar untuk penceraian itu didaftarkan secara sah ekoran ia perlu dilakukan di luar negara dan sikap lepas tangan si suami.
Manakala si isteri yang kematian suami atau diceraikan pasangan pula menghadapi masalah tuntutan faraid atau hak sepencarian di kemudian hari.
Lebih malang lagi, kes perkahwinan rentas sempadan juga memberi kesan buruk terhadap anak-anak di mana kesukaran berlaku pada status nasab anak, nafkah yang wajib bagi mereka, masa depan pendidikan dan kesihatan anak.
Malah, masalah lebih rumit akan berlaku jika ia melibatkan ibu yang memegang status bukan warganegara yang memberi kesan kepada kewarganegaraan anak yang lahir dari hasil perkahwinan tersebut.
Meskipun menyedari perkahwinan rentas sempadan ini memberi kesan buruk di belakang hari, namun masih banyak pasangan yang memilih cara mudah berkenaan dan tidak mendaftar perkahwinan masing-masing di negara ini.
Difahamkan bahawa antara faktor yang menjadi punca perkahwinan rentas sempadan tidak didaftarkan pasangan terbabit adalah ekoran prosedur pendaftaran yang dikatakan rumit, melibatkan isteri pertama dan denda yang perlu dibayar.
Akibatnya, maka pelbagai masalah berlaku di dalam institusi keluarga Islam tersebut sehingga memberi kesan buruk kepada kehidupan berkualiti ummah yang sepatutnya dikecapi selepas berlaku perkahwinan itu.
Lebih mengecewakan, ia juga memberi kesan buruk dan meruntuhkan institusi kekeluargaan Islam sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah SAW.
Sesungguhnya tiada masalah di dunia ini yang tidak dapat diselesaikan. Namun untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan, ia memerlukan kerjasama erat dari pasangan terbabit, pihak berkuasa, agensi dan jabatan kerajaan.
Tanpa kesedaran dan komitmen dari mereka yang terlibat, masalah perkahwinan rentas sempadan ini akan terus menghantui umat Islam di negara ini dan menjejaskan proses pembangunan ummah sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah SAW.
Justeru itu, adalah menjadi harapan supaya isu ini mendapat perhatian di kalangan pihak yang terlibat dan tidak memandang remeh terhadap permasalahan yang berlaku demi kesejahteraan ummah, di dunia dan akhirat. - Kedahnews.com