Perkasa Mahu Kerajaan Tolak Cadangan Maju Holdings Kuasai PLUS


PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan menolak cadangan Maju Holdings Sdn Bhd untuk membeli PLUS Malaysia Bhd, yang 51 peratus sahamnya dikuasai oleh UEM Group Berhad dan 49 peratus lagi dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Naib Presiden Perkasa Datuk Ruhanie Ahmad berkata kerajaan harus menolaknya demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah berkata bahawa aset strategik ini dikhuatiri mungkin akhirnya jatuh ke tangan entiti asing, sekiranya Maju Holdings gagal membayar pinjaman yang digunakan untuk pembelian tersebut.

"Penjualan aset ini mungkin menimbulkan masalah kepada rakyat selaku pengguna seluruh rangkaian lebuh raya tersebut dan (mungkin) merugikan para pencarum KWSP," katanya dalam satu kenyataan semalam,

Sebelum ini dilaporkan Maju Holdings Sdn Bhd membuat tawaran lebih daripada RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd.

Johari kelmarin meminta  Maju Holdings menyatakan dengan terperinci sumber kewangan yang akan membiayai cadangan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam PLUS Malaysia Bhd. (PLUS Malaysia). 

 Perkara itu amat penting kerana kerajaan bimbang aset-aset strategik negara jatuh ke tangan pihak asing sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga pada masa hadapanm kata beliau.
Bagaimanapun katanya, Kementerian Kewangan masih belum menerima sebarang kertas kerja bagi cadangan pengambilalihan tersebut. 

“Sebenarnya, ada beberapa pihak telah melihat cadangan ini dulu (termasuk juga Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad) dan juga ada dua tiga pihak. Tetapi dalam hal melibatkan PLUS ini, kita telah melaksanakan pembiayaan semula melalui UEM Group Bhd. (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), " kata Johari. - Kedahnews.com,