Peruntukan RM65,000 Atasi Banjir Kilat Di Kedah


SEBANYAK RM65,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri Kedah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan Kampung Darat, Bukit Pinang di Mukim Hutan Kampung, Alor Setar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, peruntukkan kerajaan negeri yang diberikan itu adalah bertujuan untuk kerja pendalaman parit di kampung berkenaan dalam melancarkan pengaliran air ke sebuah kawasan takungan air di sekitar mukim berkenaan.

"Banjir kilat sering menjadi permasalahan utama masyarakat di kampung berkenaan apabila hujan lebat berlaku. Malah, masalah ini sudah berlarutan hampir 10 tahun menjejaskan 65 buah rumah membabitkan 400 penduduk di kampung itu.

"Selain itu juga, hampir setiap tahun boleh dikatakan penduduk di kampung ini akan berhadapan masalah yang serupa terutama ketika musim hujan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan serta taklimat ringkas banjir kilat kepada penduduk kampung itu di Dewan Hutan Kampung, Bukit Pinang, Mukim Hutan Kampung, Alor Setar, hari ini.

Taklimat ringkasnya itu turut dilakukan bersama wakil Pejabat Daerah Kota Setar dan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri Kedah dalam mencari penyelesaian kepada masalah banjir kilat berkenaan.

Tambahnya, rentetan kejadian banjir kilat yang sering melanda di Kedah, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membincangkan tajuk berkaitan banjir kilat dalam setiap mesyuarat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan masalah itu yang dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Difahamkan, banjir kilat sering melanda beberapa daerah di negeri ini membabitkan Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Baling.

"Inisiatif ini diambil kerana kita mahu pihak berkuasa mencari jalan pintas untuk menyelesaikan masalah itu dalam jangka pendek tanpa perlu menunggu peruntukkan daripada kerajaan pusat.

"Saya juga sudah mengarahkan semua 12 PBT di Kedah untuk membincangkan mengenai masalah banjir kilat dalam setiap mesyuarat yang diadakan mereka serta meminta YDP (Yang di-Pertua) dan Datuk Bandar bincangkan mengenai masalah banjir kilat dalam mesyuarat yang diadakan," katanya.

Beliau berkata, perbincangan itu perlu dalam mencari alternatif sementara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku sementara menunggu peruntukkan besar dari kerajaan.

Sumber: MyMetro