Pesta Arak: DAP Mahu Diteruskan, PAN Mula Akur Tentangan PAS


SELEPAS dipersoalkan oleh PAS, Parti Amanah Negara (PAN) akur tentangan PAS terhadap pengajuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dijadual pada 6 dan 7 Oktober di Solaris Damansara. 

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN), Ahmad Awang yang turut membidas pengajuran minum bir  itu bagaimanapun berkata bukan Islam tidak dihalang untuk meminum arak selagi tidak merosakkan pihak lain.

“Mereka berhak untuk minum arak atau berkenduri-kendara dengannya, selagi tidak merosakkan pihak lain.

“Mereka boleh meminumnya secara seorangan atau secara berkumpulan sesama mereka di tempat mereka, katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau mengulas mengenai permohonan untuk menganjurkan pesta arak Better Beer Festival 2017 ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Namun pesta itu dipertahankan oleh DAP yang mendakwa ia  itu tidak menyalahi undang-undang dan bebas dianjurkan di negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Ahmad berkata, walaupun dalam konteks kenegaraan turut dianggotai oleh orang bukan Islam, agama Islam  tidak menyekat hak bukan Islam untuk meminum arak di tempat mereka. 

Walau bagaimanapun, katanya pihak berkuasa tempatan boleh mengawal selia majlis arak mereka dan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka boleh diambil tindakan.

Sebelum ini Setiausaha Publisiti PAN yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga mengatakan penganjuran pesta arak berkenaan tidak boleh dihalang ekoran Malaysia merupakan sebuah negara majmuk. - Kedahnews.com