Pesta Seks & Dadah, Ramai Tak Sempat Beraksi


MUNGKIN pada hari minggu akan dipilih sebagai waktu yang sesuai bagi anak muda untuk melakukan perkara maksiat atau berjoli sakan.

Semalam, seramai 46 lelaki dan 26 wanita telah ditahan oleh pihak polis Johor ketika mereka sedang mahu ‘membuka gelanggang’ untuk berpesta arak dan seks secara berjemaah.

Kejadian itu telah berlaku di sebuah banglo di Kempas, Johor Bahru pada awal pagi Sabtu dan kesemua suspek yang ditahan dikatakan berusia antara 17 tahun hingga 26 tahun.

Uniknya pesta itu diadakan menerusi aplikasi WeChat sejak beberapa hari yang lalu dan kesemua suspek yang telah ditahan merupakan penduduk sekitar Johor Bahru.

Mereka dikatakan tertarik dengan servis yang ditawarkan kerana tujuannya ialah untuk golongan muda melakukan seks terbuka beramai-ramai sambil mengambil dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob menjelaskan bahawa banglo itu diserbu 20 anggota dan pegawai dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Selain itu, pihak polis turut menahan dua individu yang dikatakan sebagai penganjur pesta liar tersebut dan beberapa paket bahan lutsinar yang dipercayai dadah juga telah ditemui di banglo yang sama.

“Semua suspek dan rampasan termasuk peralatan muzik dibawa pulang ke IPK Johor bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati 29 daripada mereka positif dadah dan siasatan akan dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dipetik Harian Metro. 

Sumber: Mynewshub