Petrol Dicurah Di Rak Tuala, Kasut, Dinding - Bomba


PUTRAJAYA - Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, Khamis lalu, dipercayai disebabkan oleh api yang dinyala menggunakan petrol, yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama aras tiga premis berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu.

"Api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua tong gas berkenaan sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh asrama.

"Tambahan pula, fire load (bahan mudah terbakar) yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api, mengakibatkan mangsa yang sedang tidur terkorban dalam masa yang singkat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Wan Mohd Nor berkata, berdasarkan penemuan kebakaran, punca kebakaran itu adalah perbuatan sengaja dibakar.

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Khamis lalu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan.

Susulan tragedi itu, polis menahan tujuh remaja berusia 11 tahun hingga 18 tahun, yang disyaki mendalangi kebakaran premis itu.

Sumber: BH online