Piala Dunia: Korea Selatan, Arab Saudi Layak


TEHRAN- Jaringan penyamaan Omar Al Soma pada masa kecederaan membawa Syria beraksi di pusingan playoff Piala Dunia 2018, manakala Korea Selatan dan Arab Saudi mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Syria ketinggalan 1-2 kepada Iran tetapi tandukan Al Soma berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Alireza Salimi pada minit ketiga masa tambahan untuk seri 2-2, sekali gus layak ke pusingan playoff.

"Dengan izin Tuhan, perjalanan kami akan diteruskan. Aksi kelayakan bermula sekali lagi. Semua pemain adalah wira di padang sejak dari awal sehingga wisel penamat dibunyikan," kata Al Soma.

Keputusan seri itu menyaksikan Syria yang negaranya dibelenggu peperangan, akan bertemu Australia di mana pemenang perlawanan terbabit akan beraksi dalam pusingan playoff antara benua.

Pada hari terakhir kelayakan Zon Asia, Korea seri tanpa jaringan dengan Uzbekistan untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kesembilan berturut-turut manakala Arab Saudi menyertai mereka hasil kemenangan 1-0 ke atas Jepun.

Fahad Al Muwallad menjaringkan gol kemenangan Arab Saudi di Jeddah bagi membawa pasukan layak buat kali kelima ke Piala Dunia selaku naib juara Kumpulan B - dan Australia pula ke pusingan playoff.

Korea, Arab Saudi, Jepun dan Iran akan turun dengan misi untuk menebus kekecewaan pasukan dari Asia selepas tiada mana-mana pasukan dari benua itu yang layak ke pusingan kalah mati pada kempen 2014 di Brazil.

Kemenangan Syria menutup peluang China untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua biarpun pasukan itu melakar kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar dengan gol kemenangan dijaringkan oleh Wu Lei.

Terdahulu, dalam saingan Kumpulan B, Australia menewaskan Thailand 2-1 tetapi mereka gagal meraih slot automatik berdasarkan perbezaan gol.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut gagal mengesahkan tempat ke pusingan akhir kempen di Russia tahun depan selepas tewas 0-1 kepada Iraq, sekali gus menamatkan saingan kelayakan di tangga keempat Kumpulan B. - AFP